KUALA LUMPUR: Penyanyi Amy Search masih menerima kecaman gara-gara tindakannya menghulurkan mikrofon kepada peminat ketika membuat persembahan dalam sebuah acara-acara baru-baru ini.
Tampil memberi reaksi, penyanyi bersuara emas, Amir Ukays berpandangan tidak adil legenda rock tanah air itu terus dihukum ekoran tindakan tersebut.
Kata Amir, peminat perlu faham situasi dan faktor yang membuatkan Amy bertindak sedemikian.
“Kita tak boleh hentam. Kena faham, mungkin sistem bunyi pada ketika itu mengalami masalah.
“Saya juga akan menyanyi dalam keadaan yang memeritkan sekiranya sistem bunyi tidak berfungsi dengan baik. Keadaan itu tidak membantu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas Amir lagi, tindakan menghulurkan mikrofon kepada penonton bukanlah satu isu besar.
Akan tetapi, ia perlulah dikawal agar lagu yang disampaikan tidak rosak ketika dinyanyikan.
“Sebenarnya saya pun buat. Tetapi janganlah terlalu kerap sampai menjejaskan chorus lagu yang disampaikan.
“Itu tak adil. Sekali sekala kita dengar suara peminat, okey. Tak ada masalah. Tapi jangalah kita hulur mikrofon terlalu lama,” ujarnya.
Dalam pada itu, anak kelahiran Kuala Lumpur ini memberitahu pelbagai persediaan telah dilakukan menjelang konsert reunion yang akan berlangsung pada 17 dan 18 Jun depan.
Kata empunya nama sebenar Mohd. Azmir Muhammad ini, persediaan paling utama adalah dari segi stamina yang menjadi antara penentu kepada persembahan bertenaga pada konsert itu nanti.
“Saya akui, pada umur-umur macam ini, stamina sudah menurun. Saya kena buat persediaan.
“Jadi saya akan mulakan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti. Saya akan berenang dan berbasikal. Kena buat.
“25 lagu itu agak banyak. Dan lagu-lagu Ukays kebanyakannya bernada tinggi. Apa pun juga, saya mesti bersedia,” kongsinya.