DI SEBALIK populariti dan kemasyhuran, penyanyi, Sinead O’Connor berperang dengan gangguan mental yang menghantuinya sejak sekian lama.
Penyanyi lagu Nothing Compares 2 U ini bagaimanapun tidak berselindung, malah terbuka dalam menceritakan masalah dialaminya.
Dalam temu bual eksklusif bersama Oprah Winfrey pada 2007, O’Connor mendedahkan bahawa dirinya disahkan mengalami penyakit bipolar dan pernah cuba untuk membunuh diri ketika memasuki usia 33 tahun.
Penyanyi kelahiran Ireland ini juga mengaku ketagih dadah jenis ganja sejak usia remaja dan pernah dimasukkan ke pusat pemulihan untuk membantu dirinya menamatkan masalah tersebut.
Menerusi satu wawancara bersama personaliti televisyen terkenal, Dr. Phil, sekitar 2017, O’Connor membuka cerita mengenai penderaan fizikal dan seksual yang dilakukan ibunya terhadap dirinya.
“Dia seorang yang berasa lega apabila menyakiti seseorang.
“Apa yang saya suka tentangnya adalah hakikat dia telahpun meninggal dunia,” katanya.
Penyanyi berusia 55 tahun itu bukanlah selebriti pertama yang tampil mendedahkan tentang masalah mental yang dialami.
Namun dia berharap perkongsiannya itu dapat membantu berjuta individu yang berdepan pergelutan yang sama dalam hidup mereka setiap hari.
Memeluk Islam
Pada 2018, Sinead O’Conner memutuskan untuk meninggalkan agama Kristian dan memeluk Islam serta menukar namanya kepada Shuhada Sadaqat.
Dalam satu wawancara bersama Youtuber terkenal, Eddie Redzovic, penyanyi tersebut menyifatkan keputusannya itu sebagai pilihan peribadi dan tidak perlu diuar-uarkan.
“Saya merasakan tidak perlu (berkongsi) kerana ia adalah pilihan peribadi. Perkara itu tidak perlu dibuktikan kepada orang lain.
“Saya tidak perlu menjelaskan mengapa saya memeluk Islam. Saya sangat berminat dengan agama ini dan ingin mempertahankannya daripada stigma.
“Kembali ke jalan benar. Itu gambaran tepat tentang pilihan ini. Saya, sejak lahir merupakan seorang Islam namun saya tidak menyedarinya” katanya.
Disoal sama ada dia akan mengajak orang lain kepada Islam, ibu empat anak ini memaklumkan dia tidak merancang untuk berbuat demikian.
“Allah akan pilih siapa Dia kehendaki,” jawabnya ringkas.
Kematian anak tersayang
Sekitar Januari lepas, Sinead O’Connor menggemparkan dunia hiburan antarabangsa dengan berita kematian anak lelakinya, Shane, 17.
Penyanyi yang dahulu terkenal dengan imej kepala botak itu memaklumkan berita duka tersebut menerusi Twitter.
Shane, yang melarikan diri dari hospital sehari sebelum kejadian ditemukan menggantung dirinya sendiri.
“Cahaya mata saya, Nevi’im Nesta Ali Shane O’Connor, sinar kehidupan saya, memutuskan untuk mengakhiri pergelutannya di dunia.
“Dia kini bersama Tuhan. Semoga dia tenang di sana dan diharapkan tindakannya ini tidak menjadi contoh kepada orang lain.
“Anakku, saya sayang kamu. Damailah di sana,” tulisnya.
Pada masa sama, O’Connor menyuarakan kekesalannya terhadap kerajaan Ireland yang mengambil sikap acuh tak acuh tentang kematian Shane.
“Saya perlu masa untuk diri sendiri. Saya akan dedahkan sikap kerajaan yang tidak prihatin, zalim, mementingkan diri sendiri dan pembohongan mereka apabila saya bersedia nanti,” katanya kesal.