Persatuan Haiwan Malaysia banteras keganasan binatang

Hati saya sakit melihat mereka disakiti – Persatuan Haiwan Malaysia banteras keganasan binatang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melihat insiden haiwan diperlakukan sesuka hati oleh manusia bertopengkan iblis, cukup menghiris keping hati milik Arie Dwi Andika.

Baginya manusia itu selayaknya menerima hukum berat kerana menzalimi haiwan.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia ini berkata, perbuatan tersebut tidak boleh dipandang ringan memandangkan dikhuatiri akan membahayakan orang lain dan perlakukan agresif tersebut mungkin boleh berulang.

“Saya pelik menyaksikan kerakusan manusia yang diangkat sebagai khalifah dan diamanahkan supaya memacu dunia ke arah kebaikan semakin ‘seronok’ melakukan kerosakan bahkan penganiayaan terhadap haiwan.

“Perbuatan mendera haiwan adalah tindakan kejam serta tidak berperikemanusiaan. Pesalah perlu dikenakan tindakan.

“Kita berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penjenayah mengikut undang-undang yang ditetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Akta Kebajikan Haiwan 2015 Seksyen 29, memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda sehingga RM100,000 atau kedua-duanya, terhadap pendera haiwan ini.

Persatuan yang ditubuhkan secara rasmi pada 10 Julai 2017 itu bertujuan membela nasib haiwan teraniaya dan didera.

Kata Arie, sejak ditubuhkan, ia sudah pun mengendalikan 13 kes jenayah melibatkan haiwan termasuk pembunuhan dan kecederaan.

Antara kes pendakwaan diperjuangkannya ialah kes pembunuhan kucing di kedai dobi pada September 2018.

Dalam insiden itu, dua lelaki membunuh kucing bunting terbiar dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering di kedai dobi, Taman Gombak Ria, Gombak.

Pesalah dijatuhkan hukuman penjara 34 bulan dan denda RM40,000 akibat membunuh kucing. Akta itu juga merupakan yang pertama di negara ini sejak ia berkuat kuasa pada Julai 2017.

“Saya rasa puas bila ada pesalah di bawa ke muka pengadilan,” katanya.

Dalam insiden penderaan kucing yang lain, kata Arie persatuan turut menerima aduan selepas rakaman video tular memaparkan seorang wanita memukul seekor kucing menggunakan kayu sehingga mati.

“Sebenarnya ada banyak cara lebih bijak dalam menangani masalah kucing. Antaranya menanam pokok coleus canina atau menggunakan semburan penghalau haiwan (cat repellent spray) yang selamat digunakan kepada haiwan,” katanya.

Menyatakan hasrat perjuangan membela nasib haiwan, Arie berharap undang-undang berkaitan haiwan dapat diperkasakan dan penguatkuasaan secara maksimum dapat memberi impak besar kepada negara.

Arie yang juga Penganalisis Jenayah Haiwan menjelaskan, taraf pendidikan dan peningkatan sosioekonomi di negara ini sepatutnya menjadikan masyarakat lebih memahami hak haiwan serta menghormati sesama makhluk selagi ia tidak mengancam nyawa manusia.

Kempen kesedaran

Dana menguruskan kes-kes mahkamah atau pengurusan haiwan terbiar, diperolehi melalui poket sendiri dan hasil sumbangan orang ramai.

Berkongsi pengalaman sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020 dan 2021, kata Arie ada pihak menyumbang makanan haiwan seperti kucing dan anjing terbiar di seluruh negara.

“Secara tidak langsung kami dapat memberi makanan kepada haiwan terbiar. Sepanjang PKP juga kami menjalankan kempen kesedaran agar orang ramai tidak mendera haiwan melalui televisyen, radio dan kerjasama dengan universiti-universiti,” ujarnya.

Negara perlu bebas haiwan gelandangan

Memetik pepatah Mahatma Gandhi, jika ingin melihat bangsa sesebuah negara, maka lihatlah bagaimana mereka melayani haiwan di negara mereka.

Arie memiliki impian untuk melahirkan masyarakat penyayang yang memiliki ilmu berkaitan haiwan sekali gus menghargai kewujudan haiwan sebagai pelengkap ekosistem.

Malah penganalisis jenayah haiwan ini berhasrat menjadikan Malaysia sebagai negara mesra haiwan gelandangan serta terpelihara seperti dilakukan Australia.

Negara itu memperuntukkan bahawa haiwan wajib dilindungi di bawah akta dan undang-undang komprehensif.

Arie yang aktif dalam kerja sosial mengakui pengaruh datuknya yang juga pencinta kucing memberi makanan dan membawa pulang kucing jalanan ke rumah ketika kecil, antara faktor dirinya terbabit dengan dunia haiwan.

Dilahirkan dalam keluarga besar bersama 11 adik-beradik. Dia dibesarkan ibu selepas bapanya meninggal dunia kala usianya baharu menjengah dua tahun.

“Oleh kerana jiwa saya dekat dengan kucing, saya memulakan perniagaan pertama Pusat Penjagaan Kucing Ikhlas sekitar 2006. Idea itu diilhamkan apabila saya melihat banyak kucing terbiar tanpa perlindungan seolah-olah ia tiada nilai.

“Segelintir individu mengambil jalan mudah dengan membuang kucing peliharaan apabila bilangannya kian bertambah.

“Jadi, saya terpanggil untuk membantu haiwan malang ini seterusnya ‘menambah nilai’ menerusi penjagaan sempurna dan rawatan sewajarnya,” katanya.

Aktif menjalankan perniagaan pembinaan dan pengubahsuaian bangunan, bengkel membaiki motosikal, butik kafe serta agensi insurans, Arie turut menghasilkan buah antaranya Panduan Asas Memelihara Kucing (2010), Jalan Salah Yang Selamat dan Aku, Anjing dan Manusia pada tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya