Bagi pelakon Putra Amaris yang sedang mengusahakan produk makanan Amaris My Tart dan Satay Goreng, dia menekankan kepada kalangan artis yang menceburi bidang perniagaan agar menjaga kebersihan selain mendapatkan kelulusan daripada pihak berwajib.
“Sebenarnya pada saya hal itu terlalu subjektif, tetapi kita dapat lihat artis Malaysia sudah mejadi ikutan untuk keluarkan produk.
“Tapi adakah produk dan cara mereka keluarkan itu bertepatan dan mengikuti piawaian dan kelulusan pihak berwajib? Sebaik-baiknya tunggulah dahulu jangan main tangkap muat.
“Kalau berniaga makanan kita kenalah menjaga kualiti dan tepati aspek-aspek yang disarankan. Sudah dapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia KKM baru boleh keluarkan,” tegasnya.
Amaris turut mendedahkan dia pernah menyaksikan sendiri pengusaha makanan bukan artis menukar tarikh luput demi kepentingan diri sendiri.
Justeru, jelasnya, hal yang berlaku artis perlu jadikan iktibar supaya rezeki berkat untuk kelangsungan hidup.
“Kita berniaga ini mencari rezeki halal dan berkat serta berlaku jujur serta amanah bukan? Jadi jangan ambil ringan dengan persiapan dan kepentingan berkaitan.
“Benar di kala ekonomi pandemik kini tidak begitu mengizinkan pendapatan pulangan modal. Namun janganlah sampai begitu sikapnya, tidak kiralah jenama besar atau sederhana,” katanya.