KUALA LUMPUR: Pelakon baharu, Myra Natasha meluahkan rasa gembira apabila dia akhirnya dapat membuka rahsia yang terpendam sejak 27 tahun lalu.
Jelasnya, sebelum ini pengacara dan penyampai terkenal iaitu Halim Othman terpaksa merahsiakan status Myra untuk kebaikan masa hadapannya. Kini sudah tiba masanya khalayak tahu hal sebenar.
“Yang memilih untuk merahsiakan perkara ini ialah bapa kerana dia merasakan tak perlu kongsi kisah peribadi kepada khalayak. Namun kini dia sudah terbuka untuk berkongsi saya anak dia.
“Tapi bagi saya sebenarnya nak berkongsi kisah ini sebab bukannya satu cerita yang memalukan. Hubungan anak dan bapa itu adalah satu yang murni.
“Walau apa pun kisah yang telah berlaku sebelum ini, pada akhirnya kita adalah anak dan bapa,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Myra berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Astro Raya Screening di Connexion Konferen dan Pusat Acara, Nexus, Bangsar South City, semalam.
Positif dengan hal yang telah berlalu, Myra mengakui hal sedemikian menjadikan dia lebih befikiran dewasa.
“Waktu yang sudah berlalu bagaimana kita nak ganti semula? Kalau curi duit boleh bayar semula. Tapi masa macam mana?
“Jawapannya tiada sebab masa itu memang tiada gantinya, alternatifnya saya majukan diri dan cuba hidup berdikari. Hal lalu menjadikan saya matang,” katanya.
Menurut Myra, ibunya Yusnita Omar berkahwin dengan Halim di Thailand pada 1994 dan ibu bapanya mengambil keputusan untuk bercerai empat tahun kemudian. Difahamkan, perkahwinan mereka tidak didaftarkan di Malaysia.
Dalam perkembangan terbaharu. Myra yang juga merupakan seorang guru dan atlet negara Sukan Sorak, sedang menjalani penggambaran 24 episod untuk Awesome TV berjudul, Dilema Sebuah Anugerah.
Saksikan juga lakonannya menerusi drama Republik Gombak, setiap hari Isnin hingga Khamis, pada pukul 6 petang di saluran TV3 dan Travelogue 13 episod, setiap hari Khamis di saluran TV Okey.