KUALA LUMPUR: Pelakon, Datin Anne Ngasri, 38, meluah rasa sebak ketika menghantar anak bujangnya mendaftar ke Kolej Yayasan Saad Melaka, semalam.
Menerusi perkongsian hantaran yang diabadikan menerusi rakaman video di Instagramnya, Anne berkata, meski keputusan berat namun demi masa depan anaknya, dia akhirnya mengizinkan.
“Ini bukanlah keputusan yang mudah. Jarang sekali berpisah dengan anak-anak. Tetapi demi kebaikan dan masa depannya, saya kuatkan juga.
“Semoga Warits belajar rajin-rajin dan ingatlah tiada benda yang mudah digapai. Usaha pasti berjaya,” tulis Anne.
Dalam coretan menyentuh hati itu Anne juga menitip pesan agar khalayak bersama-sama mendoakan buat anaknya.
“Tolong doakannya ya,” coret Anne lagi.
Menerusi pemerhatian Utusan Malaysia, pelakon terkenal Zarina Zainuddin, Fara Fauzana dan Anita Baharom tampil melayangkan doa di ruang komen hantaran tersebut.
“Semoga Allah permudahkan segalanya. Semoga menjadi anak yang bijak pandai dan soleh,” komen Zarina.
“Yang baik-baik sahaja Warits! Siapa-siapa kacau jangan panggil mama (Anne). Panggil auntie Fara atau auntie Darling saja,” seloroh Fafau.
Untuk rekod, Anne mempunyai enam orang anak, tiga daripada perkahwinan pertama, Abdul Warits,16, Abdul Wafri,14, Nazharah Afroza, 12 tahun dan dua bersama suaminya, Datuk Mohd. Sumali Reduan iaitu Sufi Harraz, 9, Nefa Naura,4, dan anak tiri, Suffian Akim,17.