Bukan 25 tahun, lebih dari itu - Amir Ukays

Bukan 25 tahun, lebih dari itu – Amir Ukays

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UKAYS merupakan antara kumpulan yang menyengat satu ketika dulu. Populariti mereka tidak perlu dipersoalkan.

Barangkali, selain lagu-lagu ‘berhantu’, vokal Mohd. Azmir Muhammad Yusof atau Amir juga faktor keunggulan Ukays ketika itu.

Amir menyertai Ukays pada 1991. Komposer ‘otai’, Saari Jusoh atau Saari Amri melihat kesesuaian anak kelahiran Kuala Lumpur itu selaku pilihan untuk diangkat sebagai vokalis kumpulan itu.

Terbukti, Amir memberi kekuatan. Vokalnya menghidupkan lagu-lagu Ukays yang asalnya sebuah kumpulan yang ditubuhkan sejak tahun 1986.

Saya bertemu penyanyi legenda ini Rabu lalu. Saya curi sedikit masanya yang giat membuat persiapan menjelang konsert reunion yang dijadualkan berlangsung pada 17 dan 18 Jun depan.

Pertemuan kami bertempat di Heaven Studio sekitar Pandan Indah sekitar detik 10.30 malam.

Amir berpenampilan serba hitam, sedia memberi kerjasama untuk sesi fotografi seperti dijanjikan.

Dalam perbualan kami, dia ada menceritakan tentang sejarah penglibatannya dalam dunia hiburan. Katanya, dia bermula lebih awal, sebelum bersama Ukays lagi.

“Penglibatan saya dalam industri sudah lama. Cuma saya tidaklah mengwar-warkan tentang itu.

“Sebelum bersama Ukays, saya lebih dahulu menganggotai kumpulan Analisa dan kami sempat menghasilkan sebuah album pada tahun 1990. Kalau ikutkan, penglibatan saya bukan 25 tahun. Tetapi, lebih dari itu,” katanya.

Kata Amir, baginya, untuk masuk ke dalam bidang nyanyian bukan satu perkara yang mudah.

Tidak direstui
Pada awal, dia tidak mendapat restu orang tua yang mengharapkan dia melakukan kerja yang lain selain menyanyi.

“Saya tidak dibesarkan dalam keluarga seni. Kedua orang tua pada awalnya tak restu saya menyanyi. Tambah arwah mak. Dia tak suka dan suruh saya cari kerja lain.

“Tetapi, menyanyi ini dah jadi minat. Jiwa sudah ke arah itu. Saya buat apa pun tak jadi. Kena yang itu juga. Kalau di rumah, saya tak menyanyi sebab segan dengan orang tua. Tapi kalau dekat luar, saya boleh.

“Tidak ada sesiapa yang mengajar saya tentang muzik. Semua atas usaha sendiri. Masuk pertandingan karaoke, semua sendiri. Tapi tidak siapa sangka, hanya kemudian baru saya dipertemukan dengan Saari Amri,” ceritanya.

Pernah tak berduit
Setiap anak seni pasti akan melalui momen-momen yang tidak akan mereka lupakan. Lebih-lebih lagi suka duka kehidupan bergelar penghibur yang pada permulaannya penuh pahit dan kemanisan.

Bagi Amir, dia tidak terkecuali. Katanya, dahulu, kehidupan sebagai artis bukan terus senang. Titik permulaan penuh ujian dan kesusahan.

Namun katanya, itulah pengalaman, yang mungkin tidak dilalui sebilangan besar artis-artis sekarang yang serba serbi hidup senang.

“Hidup masa awal itu memang susah. Bukan macam zaman sekarang. Kami terpaksa lalui keperitan untuk berjaya. Semua liku kami hadapi.

“Dulu, setiap anggota kumpulan muzik hidup bersama-sama. Tinggal satu rumah, duduk satu bilik. Kongsi makan minum.

“Pernah tak berduit. Balik rumah pun tidak. Tinggal dengan kawan-kawan. Tentulah, orang tua akan bising,” kongsinya.

Namun, usaha dan kesungguhan yang dicurahkan pasti terbalas. Penghibur berusia 53 tahun ini berkata, antara kenangan indah yang tidak dapat dilupakan apabila menikmati kejayaan penjualan album yang mencecah ratusan ribu.

“Album Bisa Berbisa terjual sebanyak 400,000 unit. Tajam Menikam terjual 200,000 unit. Begitu juga dengan album-album yang lain yang jualan mencecah ratusan ribu.

“Pada tahun 1997, ekonomi negara mengalami kegawatan. Penggiat seni terkesan. Penjualan album menurun. Paling tinggi pun boleh pergi sehingga 50,000,” ceritanya lagi.

Pengorbanan peminat

Diajak berborak tentang peminat, penyanyi yang pernah membuat penampilan khas menerusi filem Gemerlapan ini menceritakan kegilaan peminat terhadap Ukays satu ketika dahulu luar biasa.

“Peminat akan minta tandatangan dekat duit, baju, dan seluar. Yang minta tanda tangan dekat punggung pun ada.

“Mereka sanggup beratur panjang untuk dapatkan tandatangan artis. Dahulu telefon bimbit mana ada. Jadi bila jumpa artis, mereka sanggup tunggu.

“Sampai ikut rumah itu tak adalah. Komuniti sekitar kediaman kenal dengan saya, jadi biasa sahaja. Cuma, waktu itu bila dah meletop, biasalah budak-budak naik basikal lalu depan rumah saya dia orang nyanyi lagu Seksa,” katanya.

Disoal tentang kenangan paling manis, Amir memberitahu kenangan ketika berpeluang menembusi pasaran Indonesia dan terbang ke sana untuk membuat persembahan.

“Sewaktu di Jakarta kami buat persembahan di sana. Kami jadi tumpuan, keluar televisyen. Reaksi peminat di sana lain, tak sama.

“Itu satu kenangan yang manis pada saya. Kami pernah merancang untuk membuat konsert jelajah di sana. Tapi hasrat itu tidak kesampaian apabila saya terlibat dengan nahas jalan raya sekitar 2001,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya