NEW YORK: Bintang sensasi, Britney Spears memaklumkan bahawa dirinya kini hamil anak ketiga.
Lapor portal Variety, Britney yang bebas daripada perintah kawalan mahkamah sejak lima bulan lalu berkongsi khabar gembira tersebut menerusi Instagramnya, baru-baru ini.
“Saya turunkan berat badan semata-mata untuk menambahnya semula ketika bercuti ke Maui.
“Saya hairan, apa berlaku kepada perut saya. Suami saya meyakinkan bahawa saya hanya banyak makan.
“Kemudian saya lakukan ujian dan mengetahui saya hamil,” tulisnya.
Pada September tahun lalu, Spears mengumumkan pertunangannya dengan teman lelaki yang juga model terkenal, Sam Asghari.
Penyanyi lagu Hit Me Baby One More Time itu, menerusi beberapa perkongsian di media sosial menggelar Asghari sebagai suaminya meskipun belum memaklumkan kepada umum tentang perkahwinan mereka.
Dalam pada itu, Asghari turut mengesahkan berita kehamilan Spears menerusi perkongsian media sosial yang dilakukannya baru-baru ini.
“Perkahwinan dan cahaya mata merupakan perkara semula jadi dalam sesebuah perhubungan yang penuh kasih sayang dan hormat menghormati.
“Bergelar seorang bapa merupakan perkara yang saya nantikan dan saya tidak akan mengambil ringan soal itu. Ia merupakan tanggungjawab paling penting yang akan saya galas,” tulisnya di Instagram.