PETALING JAYA: Pelakon dan penyampai radio, Riena Diana, menyarankan orang ramai agar membuat aduan terus kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), sekiranya ada penjual di bazar ramadan menjual pada harga yang tidak munasabah.
Perkara tersebut dimaklumkan pelakon drama popular Kampung People itu menerusi entri Instastory di Instagram miliknya.
Menurut Riena, dia berkongsi perkara tersebut selepas terkejut dengan harga sotong yang mencecah sehingga RM2 seekor di bazar Ramadan.
“Anda semua boleh membuat aduan kepada KPDNHEP selepas itu, sekiranya bazar harga mahal pun boleh buat aduan okey?
“Saya membeli sotong satu RM 2. Sotong besar tidak apa juga, ini sotong kecil!
“Bulan-bulan puasa ini malas nak marah-marah. Reda sahajalah,” coretnya ringkas di Instastory.
Sekadar informasi, orang ramai boleh membuat aduan kepada pihak KPDNHEP jika harga makanan yang dijual di bazar Ramadan tidak munasabah.
Menerusi satu portal tempatan, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata walaupun ketika ini tiada garis panduan kawal harga makanan siap dimasak, aduan masih boleh dibuat kepada pihak berkenaan.
Jelasnya, KPDNHEP akan menjalankan siasatan berdasarkan laporan daripada pengguna seterusnya mengambil tindakan dengan memberi notis jika benar harga yang ditawarkan peniaga keterlaluan.