BARU-baru ini, penyanyi bersuara emas, Imran Ajmain melancarkan muzik video untuk singlenya, Intan dan Perak. Poklip ingat mendengar dia menyanyikan lagu ini buat pertama kali.
Ketika itu Poklip terbang ke Singapura untuk menjadi saksi hidup konsert sulungnya sempena 10 tahun pertama dia dalam industri seni. Ya, dia sememangnya seorang penyanyi yang berbakat besar.
Lagu-lagunya malar segar dan sentiasa menjadi pilihan peminat. Bakatnya tidak terletak hanya pada suara, tetapi bait liriknya, susunan melodinya cukup indah.
Cuma sayang, dia antara bakat besar yang tidak didendang. Tidak diulit populariti. Dia dikenali, hanya kerana bakat seni dan lagu-lagunya yang mencengkam jiwa.
Sebenarnya, banyak lagi bakat besar yang berdiri dalam kedudukan yang sama seperti Imran. Rata-rata mengagumi suara dan bakat mereka namun, sukar sekali mereka menembusi tembok populariti itu.
Ketika membuat persembahan, semua bersorak riang. Menghargai bakat yang cukup sayang jika kita ketepikan. Namun usai beberapa hari, nama mereka tidak lagi didendang.
Idayu, Noryn Aziz,Azzam Sham, Bob Yusof, Monoloque dan Njwa adalah antara nama-nama berbakat besar yang disanjung sementara. mereka mempunyai pengiktirafan namun bersifat cepat panas, cepat sejuk.
Manakala yang nyanyi sekadar keluar suara, melepas vokal di hujung tekak pula yang disanjung dan menerima perhatian. Pelik tetapi itulah yang berlaku. Bukan di Malaysia sahaja bahkan secara global.
Adakah kerana kurang publisiti yang dicetuskan menerusi kontroversi? Atau gimik-gimik murahan yang membuatkan netizen berperang sesama sendiri?
Adakah itu sebenarnya yang diperlukan untuk seseorang menjadi ternama selepas ini? Kalau dilihat trend industri seni, saya berani katakan ya.
Lihat sahaja, satu demi satu kontroversi yang sengaja dicipta menghiasi carta berita sensasi tanah air. Selepas dua tiga hari, sepi kembali. Namun tidak berakhir di situ.
Episod ‘jualan lelong maruah’ akan terus menjadi perhatian. Ibarat tiada hari esok. Masing-masing berlumba memuat naik kandungan media sosial supaya terus jadi bahan bualan.
Yang berbakat tadi? Terus sepi. Nanti bila mereka membuat persembahan di pentas skala besar atau apabila musim Gegar Vaganza bermula, baru nama-nama itu dijulang semula.
Namun mungkin juga aura dan rezeki tidak berpihak. Ada yang mencuba berpuluh tahun lamanya, baru mengecapi kejayaan. Usaha dan terus usaha. Namun adakah hati secekal itu?
Kita tidak boleh memaksa sesiapa untuk menghulurkan sokongan. Minat dan sifat kita yang sukakan kontroversi itu memang tidak dapat dinafikan.
Namun, kepada nama-nama yang disebut, Poklip salah seorang peminat anda semua. Cekal melangkahlah dengan bakat yang ada. Terus menghiburkan mereka yang tahu menghargai.