Artis saman-menyaman: Tak penatkah? - Utusan Malaysia

Artis saman-menyaman: Tak penatkah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam bidang apa sekali pun, tindakan saman menyaman bukanlah satu perkara yang baru setahun dua berlaku. Malah sejak sekian lama, ia menjadi jalan yang dipilih ramai individu untuk mendapatkan hak dan keadilan.

Cumanya, dalam dunia hiburan, mungkin isu saman menyaman ini lebih ketara dan menonjol kerana melibatkan para artis dan selebriti terkenal. Tambah pula, zaman media sosial yang penuh fitnah dan pembohongan ini.

Persoalannya, berbaloikah? Ribuan ringgit dihabiskan untuk khidmat peguam. Masa bertahun-tahun disia-siakan turun naik mahkamah. Hati pula jadi tak tenang memikirkan hari esok, menang atau kalah.

Apa kata artis kita tentang saman menyaman ini? Perlu atau tidak? Sampai bila nak turun naik mahkamah? Ikuti komen mereka dalam Hangat Seminggu kali ini.

Cuma mahukan keadilan – Shah Iskandar
Bertindak atas dasar mahu menegakkan kebenaran. Namun masih memberi ruang kemaafan.

Itulah pandangan bagi pelakon Shah Iskandar ketika mengulas mengenai tindakan saman dalam kalangan pemain industri seni.

Jelas pelakon drama Hati Yang Dikhianati itu, khalayak tidak seharusnya berfikiran sama ada mana-mana artis yang mengambil tindakan samansemata-mata kerana wang.

“Kita tak boleh pandang ada duit atau tidak, tetap nak saman. Artis hanya nak membela diri untuk keadilan.

“Mana tidaknya, artis ini senang dikecam. Apa-apa yang artis lakukan nampak di mata khalayak.

“Kadang-kadang tiada persetujuan oleh kedua-belah pihak. Jadi dengan cara saman sahajalah untuk keadilan,” jelasnya.

Pun begitu, Shah berpandangan sebaik-baiknya carilah jalan penyelesaian di luar mahkamah.

“Kalau boleh selesaikan di luar mahkamah, itulah yang terbaik.

“Sesetengah individu ada yang degil. Pada saya, saman menyaman ini bukan semata kerana mahu menjear untung. Cuma mahukan keadilan, tidak kira artis atau sesiapa pun,” katanya lagi.

Tindakan saman tak mungkin kerana hal kecil – Wany Hasrita
Bagi penyanyi dan pengacara, Wany Hasrita, sebagai seorang anak seni yang sudah enam tahun berkecimpung dalam bidang ini, tentunya dia sedar akan sebarang isu yang membabitkan rakan-rakan artis lain dalam bab saman-menyaman ini.

Bagaimanapun, baginya, adalah lebih baik untuk dia berdiam diri daripada sibuk mencampur tangan urusan perbalahan orang lain kerana bimbang ia akan melarat.

Pun begitu, dari satu sudut sebagai pemerhati, dia tahu, saman-menyaman tidak akan timbul kecuali sudah sampai ke peringkat di luar keterbatasan seorang individu terutama apabila masing-masing mahu menegakkan keadilan dari aspek undang-undang.

“Mungkin kedua-dua pihak yang berbalah ini punya alasan sendiri kenapa mereka nak saman. Berbalik kepada keadaan dan punca isu yang diperbalahkan. Kalau ia terlampau sensitif yang mengakibatkan maruah yang tercalar dan sebagainya, saya fikir, wajarlah untuk ambil tindakan saman.

“Bukanlah juga sebab duit, saya tak terfikir pun sampai tahap itu. Ia lebih kepada soal maruah dan keadilan. Sebab itu juga saya rasa, tak mungkin orang yang nak saman-menyaman ini dia buat sebab hal yang kecil. Lazimnya, ia berlaku kerana punca yang besar,” katanya.

Tambah Wany lagi, dia juga percaya tindakan ini dilakukan sebagai pengajaran atau amaran buat mana-mana pihak yang terlibat untuk tahu ruang dan batas mereka agar tidak melakukan sebarang perkara tanpa berfikir panjang.

“Tapi, nak saman ini pun banyak pe­ringkatnya, ada prosesnya. Mungkin bila permohonan maaf tidak dibuat atau tidak diterima, maka tindakan susulan ini dilakukan. Cuma, jika sesuatu isu itu boleh dileraikan sambil kedua-dua pihak merendahkan ego, saya fikir, tidak perlulah sampai saman-menyaman ini,” katanya.

Kalau menang pun jadi aib, kalau kalah pun jadi aib – Ebby Yus
Bagi pendapat pelakon dan pelawak senior, Ebby Yus, seandainya isu itu membabitkan maruah dan menjadi mudarat kepada satu pihak itu, seeloknya meneruskan sahaja niat saman.

Bagaimanapun bagi Ebby, jika isu tersebut masih boleh diselesaikan dengan cara perbincangan, maka itu lebih baik.

“Bagi saya, seandainya fitnah atau dakwaan itumelibatkan maruah yang akan menjadi mudarat atau kerugian yang besar maka saman jalan terbaik.

“Pada saya tidak salah untuk menyaman pihak tertentu itu. Tetapi bergantung juga kepada apa isu yang mahu disaman itu,” katanya ketika ditemu bual.

Mengulas lanjut, dia menyifatkan perundingan antara kedua pihak adalah jalan terbaik bagi mengelak saling saman menyaman.

Namun, jika salah satu pihak tidak dapat bertolak ansur, maka saman adalah jalan terbaik buat mereka.

“Sebenarnya jika nak diikutkan bab maruah ini walau kita saman pun dan dibayar dengan wang, ia tetap tercemar juga.

“Mungkin boleh diselesaikan dengan cara baik menerusi satu perundingan. Kena bertolak ansur, tetapi kita tak faham situasi seseorang kan,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon filem popular I Know What You Did Last Raya itu sempat menitipkan nasihat buat rakan seindustri termasuk dirinya.

“Industri kita ini kecil, jadi kalau boleh tidak perlulah berbalah sehingga menjadi besar. Jika kita saling hormat menghormati dan saling menjaga maruah orang lain, itu lebih bagus.

“Daripada kita berbalah dan keluar dalam surat khabar pula. Kalau saman itu menang pun menjadi aib, kalau kalah pun menjadi aib juga,” tegasnya.

Mampu ke turun naik mahkamah? – Roslan Shah
Bagi pelakon dan pengacara, Roslan Shah, tindakan saman menyaman bukanlah jalan terbaik untuk menyelesaikan sebarang pertikaian.

Malah, baginya, tidak semua individu yang memfailkan saman akan mendapat manfaat daripada tindakan mereka itu.

“Sebagai seorang yang hampir pernah disaman, saya ingin tekankan di sini. Ia bukan perkara yang mudah.

“Nak saman orang kena fikir dua tiga kali. Mampu ke turun naik mahkamah dan melalui proses yang lama?

“Kalau menang pun, bukan dapat duit terus. Berkemungkinan besar ambil masa dua ke tiga tahun atau lebih lama. Engkau pun tak tahu hidup lagi atau tidak ketika itu. Jadi, nak saman menyaman ini, elok fikir dahulu,” katanya.

Mengulas lanjut, penyanyi lagu Ek Eleh You Siapa ini menyarankan kepada rakan artis yang ingin mengambil tindakan saman agar tidak menolak kaedah selesai luar mahkamah sebagai antara pilihan untuk meleraikan persengketaan.

“Artis-artis ini, sikit-sikit nak saman? Kita pun tak tahu apa tujuan mereka berbuat demikian. Ekonomi merosot? Atau perlu wang?

“Berdepan lebih elok. Berjumpa dan selesaikan cara baik. Daripada kita saman menyaman, tak ada gunanya. Masa terbuang. Kena ambil khidmat peguam lagi.

“Lainlah kalau kena fitnah atau diaibkan. Ambil tindakan undang-undang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Roslan juga bersetuju dengan perangai segelintir artis zaman sekarang, yang dengan mudah ambil tindakan saman meski­pun mereka sebe­narnya tidak perlu berbuat demikian.

“Generasi sekarang ni suka sangat saman menyaman. Sampai dua tiga juta tuntutan yang difailkan.

“Apa tujuan mereka? Duit itu untuk apa? Saya rasa bukan sebab hilang kerja. Rezeki kita Allah yang tentukan.

“Bagi saya, mungkin untuk publisiti sahaja. Akhirnya, kosong. Tak saman pun,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya