Bagi usahawan kosmetik dan pelakon, Mawar Rashid, ilmu adalah perkara penting terutama bagi mereka yang baru berjinak dalam dunia perniagaan.
Menurut pelakon drama Kalis Kasih itu, dia amat menitik beratkan keunikan dan kualiti sesuatu produk yang hendak dipasarkan agar jualannya kekal relevan.
“Bagi saya, kita selalu perlu membuat analisis. Saya sentiasa mencari keunikan dan fokus menghasilkan produk berkualiti. Maka, ilmu tentang perniagaan ini sangat penting.
“Jika kita mahu mulakan pun carilah sekitar kita yang betul dan boleh membantu. Saya sangat berbangga jika golongan artis mempunyai perniagaan sebagai usaha untuk memperoleh pendapatan sampingan.
“Bagaimanapun, jangan kita membuat sesuatu perniagaan tanpa ilmu. Jika kita terus lakukan tanpa belajar dan mengikut nafsu, ia akan memberi susah kepada diri sendiri nanti,” katanya.
Tambahnya, dia tidak menafikan seorang artis mudah menghasilkan produk mereka kerana mempunyai para pengikut tersendiri.
Namun, Mawar menitipkan pesanan agar mencari ilmu dalam perniagaan terlebih dahulu untuk kekal dalam bidang itu.
“Selain itu, bila saya belajar mengenai perniagaan, baru sedar bila jadi artis ini, ramai yang lihat kita mudah jual apa saja. Semuanya laku. Sebenarnya tidak. Tanpa ilmu, tak berguna juga.
“Aspek pemasaran dan berkaitannya itu adalah salah satu punca sukar untuk mengekalkan sebuah perniagaan.
“Bila saya sudah lalui perniagaan ini, barulah saya belajar banyak perkara dan memperoleh ilmu untuk menambah baik diri kita.
“Tidak dinafikan untuk artis memulakan perniagaan memang mudah kerana sudah ada pengikut. Namun, ia akan menjadi lebih mudah jika kita mempunyai ilmu,” tuturnya panjang lebar.
Tambahnya, apa-apa yang kita usahakan dalam kehidupan ini bukan semuanya mudah.