KUALA LUMPUR: Menjadi antara komposer dan penulis lirik yang begitu kerap menghasilkan lagu untuk runut bunyi drama-drama terbitan Radius One, penyanyi, Amylea Azizan, mengaku tidak kisah andai ramai menganggap dia umpama anak emas produksi tersebut.
Kata Amylea, jika ada yang menganggap dia ‘terikat’ dengan Radius One, ia bukan sesuatu yang wajar dilihat sebagai satu masalah.
“Saya selesa bersama Radius One kerana semuanya dipantau dengan sangat teliti sama ada daripada aspek bunyi, visual dan penulisan skrip.
“Sebelum kita membuat rakaman, perbincangan dengan produksi itu sudah dibincangkan sejak berbulan-bulan dan itu membuatkan saya rasa sangat dihargai.
“Sebab itu saya suka dan selesa bersama mereka. Saya suka tekankan yang saya bukan baharu dalam pembuatan lagu untuk drama. Saya sudah mula sejak 2007 lagi. Saya bukan komposer dan penyanyi baharu, ini adalah tahun ke-18 saya dalam industri. Jadi sudah tentu saya ingin pergi lebih jauh,” katanya.
Selain itu, berkongsi mengenai single terbaru Melepaskanmu yang turut bakal menjadi runut bunyi sebuah drama Radius One, Amylea mendedahkan lagu tersebut sepatutnya dilancarkan lebih awal pada Mac tahun lalu.
“Lagu ini dijadual keluar pada Mac tahun lalu tetapi terpaksa ditangguhkan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggalah industri kreatif mula dibenarkan beroperasi semula.
“Penulisan dan rakaman lagu ini pada tahun lepas. Jadi semuanya sudah terkebelakang sebenarnya. Jadi lagu ini boleh dikatakan umpama imbas kembali mengenai apa yang ditulis berkenaan perasaan saya tahun lepas.
“Sebab tahun ini saya sudah sediakan lagu lain yang berbeza ‘mood’ dan ‘vibe’. Saya mohon maaf kepada peminat dan pendengar yang sukakan lagu daripada saya kerana perlu menunggu terlalu lama. Banyak sangat dugaan tahun lepas sampai tak boleh nak keluarkan lagu ini,” katanya.
Dalam masa sama, Amylea berkata lagu Melepaskanmu menjadi karya terakhir sebelum dia berehat seketika daripada menghasilkan lagu berentak balada.
“Lagu ini berentak balada sama dengan jalan cerita drama ini. Mungkin selepas ini saya akan berehat sekejap dengan genre balada. Bukan saya tak mahu untuk buat genre lain tetapi perlu ikut kehendak kepada kesesuaian drama itu.
“Jadi ia masih lagi berentak balada dan saya harap orang boleh menerimanya,” katanya.
Menurut Amylea lagi, lagu itu menceritakan berkenaan kekuatan selepas ditinggalkan dan kekuatan untuk melepaskan seseorang itu.
“Lagu Melepaskanmu ini lebih kepada rasa reda. Saya tahu ramai orang akan cakap ini adalah daripada kisah sebenar saya.
“Kadang-kadang cerita daripada kita ini adalah lebih kurang sama. Ada dugaan yang lebih kurang cuma perincian sahaja yang berbeza. Jadi cerita dalam drama ini juga adalah refleksi daripada cerita yang terjadi dalam kalangan masyarakat yang mana skripnya diolah sebegitu.
“Kalau sedikit sebanyak ada menyentuh pribadi seseorang termasuk diri saya sendiri itu adalah kebetulan. Mungkin sebagai seorang penulis saya dapat ungkapkan berkenaan diri saya dan akan lebih memberi kesan di hati pendengar,” katanya.
Dalam pada itu, Amylea juga mendedahkan dirinya kini turut berjinak-jinak membintangi drama Dendam Seorang Isteri yang diarahkan Shahrulezad untuk siaran Astro Prima.