Tentang cinta, hadiah dan harapan - Utusan Malaysia

Tentang cinta, hadiah dan harapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cinta oleh Modread dan Heidi Moru

LAGU seperti Cinta memberikan kita harapan terhadap pasaran muzik pop negara. Melodi dan susunannya agak segar manakala liriknya berjaya keluar dari kebanalan tema cinta dalam pasaran pop negara. Modread sebuah kugiran rock handalan tetapi dengan Cinta, mereka membuktikan kemampuan untuk menjadi kugiran versatil. Heidi Moru pula tampil berkarisma dalam naskhah ini, mempelbagaikan lagi katalog kolaborasinya yang sedia kaya.

Modread bijak apabila memilih untuk melancarkan video muzik terlebih dahulu sebelum audionya disebar di platform digital. Video muzik arahan Elmielmo menyuntik nuansa misteri yang menghidupkan Cinta. Video muzik ini juga dihasilkan dengan ketelitian kualiti yang cemerlang, baik dari segi jalan cerita, suntingan mahupun sinematografi.

Jika video muzik ini dijadikan penanda aras untuk bakat independen tempatan, ramai akan mengeluh kerana arasnya tinggi. Namun, itulah yang sepatutnya berlaku. Penerbitan video muzik selepas ini perlu, sekurang-kurangnya cuba menandingi kualiti Cinta.

As Long As We Stay oleh Fugo dan Heidi Moru

SETAKAT ini, Fugo belum gagal untuk memberikan kesegaran dalam setiap rilisan mereka. Keringkasan dan kesantaian dalam As Long As We Stay memberikan ruang bernafas buat kita yang sering disogok pelbagai konflik di media sosial.

Heidi Moru sekali lagi membuktikan versatilitinya dalam lagu ini. Dengan mudah, vokalnya melengkapkan As Long As We Stay sebagai sebuah naskhah segar untuk pasaran pop tempataN.

Video muziknya ringkas dan menampilkan sedikit paradoks. Ketenangan dunia luar bandar Melayu yang klasik ditemukan dengan lagu berbahasa Inggeris.

Penceritaannya juga mudah dihadam dan memperkenalkan penonton muda kepada amalan cinta jarak jauh zaman dahulu.

Hadiah Buat Semua oleh Dewataraya menampilkan Nureen Qistina

Dewataraya dan LUAS Production tampil berani dengan penghasilan video muzik ini. Hadiah Buat Semua merupakan trek penutup dalam album pertama mereka. Dalam semesta album tersebut, Hadiah Buat Semua mempunyai tafsirannya yang tersendiri. LUAS Production pula memilih untuk memberi tafsiran berbeza dalam video muzik ini.

Konsepnya seperti filem pendek. Lagu Hadiah Buat Semua mengiringi kisah pergelutan dendam watak utama. Cabaran utamanya adalah untuk memudahkan pemahaman penonton terhadap mesej yang ingin disampaikan. Dalam hal ini, mesejnya sukar untuk sampai kerana beberapa konflik dimuatkan dalam sebuah video yang relatif pendek.

Namun, lakonan dan kualiti penggambaran yang agak baik menyelamatkan video muzik ini. Penonton masih boleh menikmatinya jika memilih untuk tidak mengendahkan persoalan mesej yang ingin disampaikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya