KUALA LUMPUR : Pengarah dan penerbit terkemuka tanah air, Aziz M Osman, 60, seakan memberi petanda bahawa kemungkinan selepas ini enggan lagi menghasilkan karya-karya drama mahupun telefilem yang berkisarkan perihal cinta semata-mata.
Menurut Aziz, dia mungkin akan mempertimbangkan idea untuk menghasilkan naskah rakyat yang mungkin dapat menekankan usaha untuk mendidik rakyat daripada pelbagai perspektif lain.
“Tak minat lagi buat cerita tentang keluarga rebut cinta, rebut harta. Nak buat cerita rakyat.
“Ajar rakyat cara buang sampah dengan betul, beretika ketika guna jalan raya, tidak menilai manusia dari ‘kulit luaran’. Tetapi, rasanya ada tak orang nak tengok cerita macam itu?”katanya.
Aziz berkata demikian dalam satu hantaran yang dimuat naik menerusi akaun Facebooknya semalam.
Menerusi tinjauan Utusan Malaysia, hantaran yang dibuat Aziz itu menerima ribuan komen dan tanda suka daripada pengikut dan peminatnya.
Rata-rata menyifatkan, pertanyaan dan cadangan pengarah filem XXRay itu sebagai satu idea yang menarik dan wajar dilaksanakan.
“Cerita macam itu lagi seronok layan satu keluarga bang, selain teladan untuk anak-anak. Boleh juga jadi teguran sinis dalam lembut kepada ibu bapa sekarang,” tulis Zarina Halim.
“Boleh sangat itu. Dah penat tengok kisah cinta klise. Kalau boleh sandarkan kisah tentang realiti kehidupan yang sebenar. Kena cari pelakon yang pandai menghidupkan emosi.
“Ramai pelakon yg berbakat besar tapi tiada rupa yang tidak mendapat tempat sewajarnya. Kebanyakan pelakon baru rata-rata emosi tak sampai kepada penonton. Janganlah memilih rupa dan pengikut semata,” tulis Azie Alias.
“Cerita rakyat dengan tema kesedaran yang kami mahukan. Selain itu beri semangat sukan, pendidikan, muafakat sesama bangsa yang semakin tipis dek politikus yang meracuni minda rakyat, rasuah, kejujuran penjawat awam yang memberi impak masa depan dan lain-lain. Filem-filem India tamil banyak dah mula sebab mereka sedar akan kerosakan yang sedang terjadi,”tulis Nor Eidzwan.
Dalam pada itu, antara rakan artis yang dilihat turut menyatakan sokongan terhadap cadangan Aziz itu termasuk Datuk Afdlin Shauki, Jihan Muse dan Ilya Buang.