Saya tidak anggap diri seorang pelakon - Imuda - Utusan Malaysia

Saya tidak anggap diri seorang pelakon – Imuda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AGAK lama saya tidak melihat pelakon berpengalaman ini muncul di televisyen (TV). Apa khabar dia? Masih berlakon? Atau sudah lama mengundur diri?

Saya kongsikan di sini, bagaimana saya membesar di zaman kegemilangannya. Lakonannya menjadi. Lebih-lebih lagi dalam rancangan komedi popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Satu masa dahulu, fenomena.

Pada saya, Abdul Rahim Muda atau Imuda, 63, anak seni yang terlalu banyak berjasa. Satu Malaysia tahu siapa Imuda. Siapa tidak kenal dia? Bakat seni Imuda terlalu besar dan istimewa. Dia pelukis, penyanyi, pengacara, pelawak dan pelakon.

Tidak ramai yang sepertinya. Tersendiri. Imuda sudah berlakon lebih daripada 30 filem. Dari filem Mekanik pada 1983, sehinggalah Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa pada 2021. Drama pula lebih 11 kesemuanya.

Baru-baru ini saya menerima undangan ke majlis program tayangan lem Kembara Seniman Jalanan di ibu kota. Imuda antara yang dijemput hadir. Maka, saya tidak lepaskan peluang. Dengan harapan dapat bersua muka dan bertanya khabar legenda ini.

Imuda, ditemani keluarga pada malam itu. Dia tidak menolak pelawaan saya untuk ditemu bual. Saya bertanyakan kepada dia, apa ceritanya sekarang?

Kata anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu, kesihatannya baik. Dia ada membuat dua, tiga kerja. Melukis yang utama. Berlakon katanya ada, tapi sedikit sahaja.

“Alhamdulillah. Dengan keadaan ekonomi sekarang, masih ada rezeki. Boleh melukis dan ada juga buat sedikit kerja lakonan. Tetapi, tidaklah seperti dahulu.

“Kita kena terima perubahan. Tidak bolehlah marah-marah, salahkan sesiapa. Kena reda. Sesuaikan diri, ikut rentak kehidupan.

“Seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee juga lalui fasa-fasa sebegini. Jadi, nak mengeluh apa?” luahnya.

Kata Imuda, untuk mencipta nama bukan terjadi dalam satu malam. Ia adalah proses yang cukup lama.

“Mencipta nama Imuda mengambil masa yang lama. Saya bermula dengan melukis kartun. Selepas itu baru terjun ke bidang lakonan. Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi pelakon. Ini semua bermula dengan ajakan kawan. Kemudian menjadi.

“Cita-cita menjadi pelukis saya pegang. Sehinggalah sekarang. Saya tidak anggap diri seorang pelakon. Ada juga saya terima anugerah. Pelawak terbaik, sebagainya. Tetapi itu semua sudah berlalu,” ujarnya.

ZAMAN SUDAH BERLALU

DAPAT rancak bercerita, bapa kepada empat anak ini banyak meluahkan. Katanya dia menerima hakikat, zamannya sudah berlalu. Dia sedar, kini lakonan bukan lagi mata pencarian utama. Untuk hidup senang dengan pendapatan selesa dengan berlakon, hanya tinggal angan- angan.

“Pada masa sekarang, tawaran (lakonan) yang berbaloi hanyalah satu mimpi. Saya kir balik, siapa nak tengok saya? Orang lama. Situasi ini dialami oleh semua seniman. Dari dulu, sampailah sekarang.

“Kita kena terima hakikat. Tak boleh persoalkan, kenapa orang dah tak panggil aku berlakon? Untuk saya, berlakon, dahulu jatuh nombor satu. Melukis, kedua. Ada permintaan, baru saya buat.

“Sekarang, lukisan nombor satu. Berlakon, nombor dua. Kalau saya masih letak lakonan nombor satu. Habislah. Tetapi mujur, Allah SWT beri
pilihan untuk saya menceburi bidang seni yang sangat saya minati. Alhamdulillah, dapat seimbangkan kedua-duanya,” kongsinya.

Dari sudut hati, saya merasakan Imuda terlalu awal perlahan-lahan melangkah keluar industri. Saya katakan kepadanya, tidakkah dia mahu
kekal berjuang, seperti rakan seperjuangan Sabri Yunus yang masih rancak berlakon dan mengarah.

“Kami berkongsi minat yang sama. Dia bercita-cita jadi pelakon dan pengarah. Jadi dia ke situ. Rezeki dia juga lebih di situ.

“Saya bukan tak mahu menonjol. Zaman saya dah habis. Buat macam mana sekalipun. Itulah hakikatnya.

“Ramai pelakon lama yang nak kembali aktif. Saya pula cuma mahu kekalkan apa yang ada. Tulis buku, hasilkan produk seperti kemeja T. Sekarang, tak boleh harapkan berlakon,” katanya lagi.

Saya layangkan soalan, adakah dia berkecil hati? Memandangkan ramai pelakon lama kini dipandang sepi. Kurang dihargai.

“Saya tidak kecil hati. Itu dah nasib pelakon lama. Fikir sendiri. Orang nak pandang ke? Dari jauh orang akan panggil legend. Setakat itu sahajalah.

“Mereka akan imbau zaman kegemilangan kita. Itu sahaja. Tidak mendatangkan pendapatan pun. Kita tidak boleh mengharap. Hanya boleh berdoa dan berharap pada rezeki yang Tuhan bagi,” katanya.

LAMBANG KELUARGA MALAYSIA

INGIN sekali saya mengorek pandangan Imuda tentang Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Saya pasti, ramai yang membesar dengan rancangan komedi popular itu.

Bila ditanya apa rahsia kejayaan rancangan itu, sehingga diterima baik masyarakat pelbagai bangsa dan latar belakang. Bukan itu sahaja, ia masih ditonton ramai, sehingga ke hari ini.

“Masih relevan dan cerita- ceritanya masih menghiburkan. Orang tak kisah, tontonlah berulang kali sekali pun.

“Sebab intipati dan cerita yang pelbagai. Kena dengan masyarakat marhaen. Dari yang tinggal kawasan setinggan sehinggalah flat

“Dan juga, penceritaannya meliputi semua kaum serta semua negeri. Ada yang bertutur dalam dialek Kelantan, Utara. Lambang keluarga Malaysia,” katanya.

Saya ajukan pula soalan, tidakkah dia dan pelakon lain ingin bergabung semula. Hidupkan kembali Pi Mai Pi Mai Tang Tu untuk tatapan generasi lama dan baharu.

Katanya, perkara itu agak mustahil buat masa ini. Bukan mudah untuk kembalikan rancangan komedi yang sudah
bertahun meninggalkan penonton. Banyak perkara yang perlu dinilai.

“Ramai yang bertanya soalan sama. Masing-masing sudah berumur. Saya 63 tahun ini. Tak sesuai jadi Budin sekarang ni. Budin orangnya kecoh, muda.

“Untuk buat, banyak yang perlu di kirkan. Komitmen. Kami pernah suarakan. Tetapi tidak terlintas untuk realisasikan.

“Insya-Allah, kalau ada yang hadir dengan skrip yang bersesuaian dan tawaran yang berbaloi. Mungkin akan dipertimbangkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya