Saya tak kaya, tapi tetap mahu teruskan impian bantu asnaf - Putra Amaris - Utusan Malaysia

Saya tak kaya, tapi tetap mahu teruskan impian bantu asnaf – Putra Amaris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Putra Amaris, menyasarkan untuk membina dan menghadiahkan sebuah rumah bagi menempatkan keluarga asnaf terpilih menerusi penganjuran program #Samasamakenyang – Infaq Ramadan yang dijadualkan bermula pada 1 Ramadan ini.

Menurut Amaris, 37, atau nama sebenarnya Amran Ismail, usaha itu bagaimanapun memerlukan anggaran keseluruhan kos sebanyak RM80,000 hingga RM100,000 selain menyasarkan ia siap dibina dalam tempoh sebulan.

“Program ini dijalankan bersama Pertubuhan Kebajikan Dapur Pasak Kuala Lumpur dan sebuah keluarga asnaf akan dipilih untuk menjadi penerimanya. Senarai data sudah kami miliki.

“Saya sebenarnya sudah lama berniat nak bina rumah untuk golongan asnaf atau yang sangat memerlukan. Tapi kalau nak buat sendiri, memang tak mampu.  Maklumlah, kita sendiri pun bukanlah orang kaya. Tapi nak dijadikan cerita, kebetulan ada pula rakan saya turut mempunyai hasrat sama.

“Alhamdulillah, tercetuslah idea ini. Insya-Allah projek rumah ini akan bermula pada 1 Ramadan hingga penghujung bulan mulia ini. Insya-Allah juga,  besar hajat saya untuk melihat keluarga terpilih itu nanti dapat merayakan 1 Syawal di rumah baru mereka,”katanya.

Amaris berkata demikian dalam satu majlis sidang media yang diadakan di Hotel Eastin, di ibu kota, baru-baru ini.

Selain itu, kata Amaris, menerusi program sama, mereka juga mewujudkan program baharu iaitu Penuhkan Peti Ais dengan sasaran sebanyak 1,000 rumah di sekitar Lembah Klang.

“Anggaran untuk kos barangan keperluan basah dan kering sekitar RM200 sehingga RM500. Alhamdulillah, tahun ini saya menerima banyak tajaan dan ramai yang hubungi saya untuk memberikan sumbangan.

“Tapi kami sangat mengalu-alukan mana-mana pihak, jutawan atau dermawan yang nak salurkan sumbangan terutama dari segi kewangan atau barangan keperluan supaya pembahagian sumbangan itu dapat dibuat secara lebih meluas.

“Kami sendiri yang akan pergi terus ke rumah asnaf dan orang susah. Kami akan menyusun dan memenuhkan peti ais mereka dengan ikan, ayam, sayur-sayuran, buah-buahan, air, pek makanan ‘ready to cook’ dan banyak lagi,”katanya.

Selain itu, kata Amaris, antara barangan keperluan asas lain seperti beras, telur dan sebagainya turut akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan ini.

“Saya berharap inisiatif ini dapat mengurangkan beban mereka sepanjang Ramadan ini dan juga sedikit sebanyak dapat membantu mereka dalam mengharungi kehidupan seharian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya