PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36), Nabila Huda memaklumkan dirinya berasa amat selesa apabila pertama kali bergandingan bersama penyanyi yang juga pengacara, Alif Satar di pentas berprestij itu.
Menerusi entri Instagram, pelakon filem popular Munafik itu memuat naik satu perkongsian foto yang memaparkan dia bersama penyanyi berkenaan semasa di belakang pentas.
Menurut Nabila yang lebih disapa Abil, dia juga menitipkan penghargaan buat Alif yang telah banyak memberikan tunjuk ajar sepanjang mengendalikan program tersebut.
Pengacara Melodi itu turut memuji sikap profesional penyanyi lagu Cukup Indah itu ketika bekerja sedang menjalankan tugas.
“Hai Alif Satar, terima kasih untuk malam semalam (kelmarin)! Sejujurnya, Abil sangat selesa berdiri di sebelah awak walaupun ini kali pertama kita kerja bersama.
“Pertama kali kerja sudah dapat tugas atas pentas yang sangat besar. Terima kasih sebab Alif bimbing Abil, beri cadangan, seorang yang sangat profesional dan senang bekerja.
“Mana lagi awak nak betulkan apa yang saya cakap, dengan nak tergolek lagi. Drama queen! Haha. Saya sangat seronok! Maaf jika ada kurang sebagai pasangan pengacara awak okey. Jika ada rezeki, kita bekerja sekali lagi,” katanya.
Mengulas lanjut, Nabila juga mengucapkan terima kasih buat pihak Media Prima kerana memberi kepercayaan buat dirinya sebagai pengacara di AJL pada kali ini.
“Terima kasih kerana memberi kepercayaan untuk Abil berdiri sebelah salah seorang yang terbaik dan berbakat dalam pengacaraan di Malaysia.
“Selain itu, berkongsi pentas dengan 12 finalis yang terlalu hebat. Syabas untuk semua di belakang tabir yang bekerja keras untuk AJL36. Pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” coretnya lagi.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet memberi reaksi yang positif buat mereka berdua selain memuji juga sikap profesional penyanyi itu ketika di atas pentas gemilang itu.
Sekadar informasi, lagu Pelukan Angkasa nyanyian kumpulan Sekumpulan Orang Gila (SOG) dan Shila Amzah mengungguli AJL36.
Naib juara AJL36 pula menjadi milik lagu Cinta ciptaan Bunga Cantik dan Hang Nadim dan nyanyian Marsha Milan.