16 TAHUN, bukan satu tempoh yang pendek. Jika dia seorang manusia, ketika ini dia menyarung baju sekolah. Belajar sesungguhnya dalam mencari arah mana masa depannya. Itu jika dia seorang manusia.
Tetapi tempoh sama, suara merdu yang satu ini menemani kita. Lembut dan menenangkan. Seperti setiap detik hatinya dipenuhi bunga. Saban malam juga, dia memberi nasihat tentang cinta, harapan dan kebangkitan.
Sengaja saya tampilkan DJ Lin sebagai wajah sampul hadapan Pancaindera. Ada sesuatu yang disimpan empunya nama Roslinda Abdul Majid. Perjalanannya dalam mencipta jenama Suria Cinta itu, bukan calang-calang.
Lantas saya susun satu persatu soalan. Saya memandang tepat matanya.
“Kita nampak Kak Lin ini kuat sahaja. Happy, sentiasa tersenyum manis. Adakah hidup Kak Lin juga sentiasa mewangi?” tanya saya.
Dia tetap menjawab dengan senyuman dahulu. Perlahan dia mengangkat wajah dan berkata;
“Mana mungkin hidup tenang tanpa ombak yang memukul. Tetapi Kak Lin suka dengan setiap satu perjalanan hidup ini. Ada pahit dan manis. Tapi Kak Lin akur dengan takdir. Apa pun dugaan, kita terima.
“Kalau boleh Kak Lin tak mahu kenang. Sebab yang pahit, yang hitam itu kalau kita simpan hanya mendatangkan kesakitan. Walaupun kadang sukar untuk hati menelan pahit tetapi kita berurusan dengan manusia kan?” jawabnya.
Benar, manusia ini rambut juga sudah tidak sama hitam. Mana mungkin hati sama bukan? Namun Kak Lin juga manusia biasa. Tetapi ada yang berdendam. Dengki dengan kejayaan yang hadirnya tidak bergolek tetapi diusahakan.
“Sebenarnya sudah beberapa tahun Kak Lin berdepan sakit misteri. Sejak pegang trofi Anugerah Bintang Popular 2016. Doktor pun tidak boleh kesan sakit apa. Setiap tahun Kak Lin akan masuk hospital.
“Cucuk sana, tarik sini. Cucuk sini, tarik sana. Kesakitan yang tidak ada ubatnya. Pernah juga Kak Lin hilang suara dan macam-macam lagi. Tetapi tenang, Allah mahu uji kita. Manusia kan bermacam-macam,” katanya.
KEKUATAN DAN NYAWA
Hati saya terusik dengan kata-kata wanita besi ini. Di tangga usia 47 tahun, benteng semangatnya dibina dengan kukuh. Tidak ditembusi rasa dendam dan amarah. Baginya semua itu perlu ada dalam perjalanan hidup.
Jadi saya tertanya-tanya, dari mana datang kekuatannya? Di mana dia mengumpul semangat untuk bangkit walaupun ditekan, dipijak berulang kali?
Jawapannya mudah; “Ibu dan anak-anak Kak Lin.”
“Mereka adalah pencetus inspirasi paling tinggi. Sepanjang kehidupan, bila berdepan dengan apa jua dugaan, orang pertama yang Kak Lin cari adalah ibu. Pesannya mudah, sabar dan ikhlas terima takdir Allah.
“Dia memaafkan semua yang menganiaya saya. Dan minta saya juga ikhlas memaafkan mereka. Baginya, biarlah orang menabur pasir sebanyak mana pun dalam periuk nasi, percayalah Allah itu ada,” katanya.
Ketika dia melontarkan jawapan, suaranya mula bergetaran. Relung matanya mula bergenangan air mata. Dia membuka cerita yang cukup sedih untuk dikongsi.
“Saya pernah masuk unit rawatan rapi (ICU) tahun lepas. Sembilan hari bertarung nyawa. Ketika itu, saya sudah seperti di hujung usia. Kalau tengok keadaan Kak Lin ketika itu, mungkin ramai tak sangka jasad ini masih bernyawa.
“Tetapi ketika itu, saya minta satu sahaja. Kalau mahu ambil nyawa Kak Lin, biarlah selepas anak-anak mampu hidup sendiri. Masing-masing sudah habis belajar dan bertemu pasangan kiriman Tuhan.
“Ketika itu, jika sudah sampai masa, ambillah nyawa Kak Lin,” katanya pilu.
SENDIRI LEBIH BAIK
Saya pandang kiri dan kanan. Takut soalan ini mengusik amarah Kak Lin. Walaupun jiwanya setenang air, namun tetap ada ombaknya. Tersipu saya bertanya; Anak-anak sudah besar, bila hati mahu diisi cinta seorang lelaki?
Tergelak kecil dia. Menyambut soalan saya dengan jawapan;
“16 tahun dik sendiri, jadi rasa itu sudah tiada. Tak kisah. Lebih rela bersendiri. Kalau berdua lagi sengsara, jadi rela Kak Lin begini sahaja. Kalau itu membahagiakan, tak payah sibuk terkejar-kejar teman hidup.
“Kadang ada yang mengata. Mulut orang kan. Kak Lin ibu tunggal pula itu, mentaliti segelintir orang memang begitu. Tetapi ibu tunggal pun kadang-kadang lebih kuat daripada seorang lelaki ya. Itu realiti,” katanya.
Saya mengangguk setuju. Tidak ada salah kata-katanya. Tetapi adakah dia menolak cinta yang hadir? Menepis lelaki yang menghulur kebahagiaan berumah tangga?
“Kak Lin ada amanah dan tanggungjawab, iaitu anak-anak. Merekalah segala-galanya. Tetapi andai satu hari nanti, dalam perjalanan sisa hidup Kak Lin bertemu seorang lelaki, kita terima ketentuan Tuhan,” katanya.
SURIA CINTA DAN ABANG LORI
Bila berbicara tentang program radio, Suria Cinta pasti terngiang kelembutan suara manis DJ Lin. Menemani pendengar setiap Jumaat hingga Ahad bermula 8 malam hingga ke 1 pagi, suara itu yang mendengar segala cerita, keluh kesah soal cinta.
Namun ada pula yang melabelkan Suria Cinta hanya didengari oleh abang-abang lori. Mereka adalah pendengar setia program yang menampilkan seleksi lagu-lagu cinta.
“Sebenarnya Suria Cinta bukan abang-abang lori sahaja tau. Diminati oleh setiap lapisan pendengar tau. Daripada pelajar, frontliners dan pelbagai lagi bidang kerja. Mereka sentiasa ada di sisi Kak Lin. Terima kasih banyak-banyak,” katanya.
Menutup sesi temubual, saya tanyakan soalan terakhir. Adakah Suria Cinta akan bernoktah?
Jawab Kak Lin;
“Tidak kot. Program ini sangat istimewa di hati pendengar. Program paling lama bertahan di radio. Suria Cinta ada satu kekuatan yang sangat luar biasa. Memberi penangan yang lain macam kepada pengendalinya.
“Tapi kalau Kak Lin dah umur 60 tahun takkan nak kendalikan lagi kan? Kak Lin kena cari pelapis, penyambung legasi DJ Lin. Tetapi itulah, nak jumpa yang jiwang sentimental itu susah,” katanya.