KUALA LUMPUR : Lima tahun berseteru dengan bekas teman baiknya, Ifa Raziah, pengacara dan selebriti serba boleh, Roslan Shah, 52, mendedahkan dia mahu memohon maaf secara terbuka dengan pelakon tersebut bagi meleraikan salah faham dan sengketa antara mereka.
Menurut Roslan yang mesra disapa Cik Lan, memandangkan usia sudah semakin lanjut dia banyak bermuhasabah diri lantaran sedar bila-bila masa sahaja nyawa yang dipinjam akan ditarik semula oleh-Nya selain mengaku tidak menyimpan dendam dengan mana-mana pihak.
“Sejak Allah SWT duga saya dengan sakit baru-baru ini, banyak yang membuatkan saya terfikir dengan mendalam. Satu daripadanya ialah bila-bila masa sahaja mati itu akan tiba. Sakit yang dialami baru-baru ini juga membuatkan saya rasa seperti Allah SWT telah beri peluang kedua buat diri.
“Jadi dengan kesempatan yang ada, saya nak mohon maaf dengan sesiapa sahaja yang pernah terluka dengan saya . Juga kepada Saripah Raziah Mustapha atau Ifa Raziah, saya mohon maaf dan memaafkan awak,”katanya.
Roslan berkata demikian semasa ditemui di majlis pelancaran produk kecantikan Aisel dan perlantikan Didie Alias sebagai duta jenama tersebut di ibu kota, kelmarin.
Selain itu, kata Roslan, dia juga tidak melihat tindakannya ini mencerminkan sebuah kekalahan atau kesalahan kerana memohon maaf pada setiap insan itu adalah satu perbuatan yang mulia.
Kata Roslan, satu daripada tujuan utama dia mahu meminta maaf dan memaafkan semua pihak kerana mahu menjalani kehidupan yang tenang dalam meniti sisa-sisa usia kini.
“Saya tak rasa malu untuk mohon maaf. Biarlah orang nak cakap apa, cakaplah. Biarlah orang fikir kalau minta maaf bermakna memang kita salah, tak mengapalah. Saya dah tak mahu kisah apa orang nak cakap sebab nak jalani hidup yang tenang saja sekarang.
“Saya pun nak mati dalam keadaan tenang. Tak mahu bermusuh dengan sesiapa dan tak nak berdendam. Semua yang kita ada sekarang, baik harta atau populariti itu tak akan kemana, kita semua akan mati jua dan bertemu di alam sana.
“Kita kalau buat salah dengan ibu bapa pun akan minta maaf, ini kan pula dengan sesama insan lain. Saya tak nak di akhirat nanti akan disoal,”katanya.
Dalam pada itu, Roslan mengaku akan cuba berhubung dengan Ifa bagi membuat permohonan maaf secara peribadi.
Bagaimanapun, terserah kepada Ifa sama ada mahu menerima permohonan maafnya itu atau tidak.
“Terus-terang, sepanjang kami tak bertegur sapa ini, ada ketika saya pun terkenang akan persahabatan erat kami dahulu. Saya pernah mimpikan Ifa, dua kali. Masih saya ingat, dalam mimpi itu kami nampak mesra sangat dan buat persembahan sama-sama.
“Saya juga ingat kebaikan dia. Masa arwah ibu saya meninggal dunia pada tahun 2019, dia ada hantar pesanan kepada seorang kawan untuk sampaikan salam takziah kepada saya. Dari situ saya semakin menghormati dia kerana walaupun tahu kita bermusuh, tapi dia tetap ingat akan arwah ibu saya.
“Begitu juga semasa arwah ibunya meninggal dunia dulu. Saya juga ada bersamanya dan memberi penghormatan terakhir kepada arwah di Kedah,”katanya.