KUALA LUMPUR: Bakal membawakan lagu Cinta yang dipopularkan penyanyi bersuara mantap, Marsha Milan Londoh, finalis Big Stage 2022, Elica Paujin mengakui dirinya sedikit terbeban untuk membawakan lagu tersebut.
Namun, Elica memberitahu dia sebenarnya lebih bersemangat dan sangat teruja untuk menyampaikan lagu itu di pentas akhir program realiti itu yang bakal berlangsung Ahad depan.
“Beban itu memang ada. Tetapi sebenarnya, saya sangat teruja untuk bawakan lagu ini kerana Cinta adalah antara lagu kegemaran saya.
“Marsha telah meletakkan penanda aras yang tinggi sewaktu membuat persembahan di Anugerah Juara Lagu (AJL) baru-baru ini. Apa yang boleh saya lakukan adalah membawakan lagu berkenaan dengan sebaik mungkin.
“Marsha adalah Marsha, Elica adalah Elica. Saya tidak boleh buat sebagaimana yang dipersembahkannya di pentas AJL. Saya kena cari gaya persembahan sendiri, asalkan menepati kehendak lagu tersebut,” katanya kepada Utusan.
Disoal sama ada dia terganggu sekiranya dirinya dibanding-bandingkan dengan penyanyi asal, jawab Elica itu menjadi perkara biasa yang sudah dihadapnya sejak mula menyertai Big Stage.
“Perasaan takut kerana dibanding-bandingkan memang ada. Tetapi, bagi saya perkara itu normal. Sepanjang bertanding di Big Stage, saya sering dibanding-bandingkan dengan peserta lain,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Elica memberitahu nasihat dan pesanan yang diterima daripada Marsha sedikit sebanyak menjadi pendorong dan pembakar semangat untuk dia membawakan lagu Cinta dengan sebaik mungkin.
“Menerusi satu rakaman video yang dihantar kepada saya, Marsha ada berpesan agar membuat yang terbaik. Dia juga sempat berkongsi kepada saya tips untuk membawakan lagu berkenaan.
“Cinta adalah lagu yang sangat berat. Saya perlu dalaminya liriknya 100 peratus supaya saya boleh letak perasaan dalam lagu itu.
“Sebenarnya, lagu ini juga kena dengan satu fasa kehidupan yang pernah saya lalui dahulu. Jadi, mungkin saya boleh masukkan penjiwaan itu ke dalamnya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Elica juga sedar bahawa ada yang menganggap dirinya kurang daya kreativiti dalam persembahan.
Katanya, dia juga bersetuju bahawa kelemahan itu menjadi punca dirinya tersenarai antara tiga peserta tercorot selama dua minggu berturut-turut.
“Saya akui, saya kurang kreativiti. Mungkin dalam Big Stage, saya lebih menyerlah dengan vokal. Tetapi apabila ada yang komen tentang kreativiti persembahan, dari situ saya menjadi lebih terbuka, menerima hakikat bahawa menyanyi tidak semestinya menyanyi sahaja.
“Mesti letak banyak aspek dalam nyanyian. Contohnya kreativiti. Tapi sebenarnya, saya cuma ingin fokus pada vokal di final nanti,” tambahnya.
Selain itu juga, Elica menganggap konsert akhir Big Stage sebagai peluang untuk menebus segala kekurangan dan kelemahan yang sebelum ini membuatkan persembahannya kurang memberi impak.
“Saya rasa pada peringkat suku dan separuh akhir, persembahan saya antara yang paling teruk.
Jadi saya nak tebus balik kesalahan dalam nyanyian di peringkat akhir nanti.
“Saya tidak makan hati dengan kritikan orang yang mengatakan saya kurang keratif dalam persembahan. Sebab saya sendiri akuinya. Mungkin untuk final ini, saya akan berikan semua, baik kreativiti mahupun vokal.
“Saya ingin berterima kasih kepada mereka yang telah mengundi saya sepanjang berada di Big Stage. Tanpa anda mungkin saya tidak berada di peringkat akhir. Harapnya, anda semua terus memberi sokongan kepada saya, bukan sahaja di Big Stage, malah seterusnya selepas ini,” ujarnya.