Lonjak mutu: Independen, arus perdana harus saling mencabar - Utusan Malaysia

Lonjak mutu: Independen, arus perdana harus saling mencabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASIH belum terlambat untuk terus bercerita tentang AJL36, rasanya. Di media sosial pun, masih ramai yang bercerita tentang kemenangan bersejarah Sekumpulan Orang Gila (SOG) dan Shila Amzah.

Saya bukanlah mahu mengulas kemenangan itu secara khusus. Sudah banyak ulasan yang ada. Cuma apa yang terjadi selepas Pelukan Angkasa dinobatkan juara membuka ruang untuk saya mengutarakan pandangan berkenaan kedudukan lapangan muzik independen dan arus perdana yang telah disimpan berbulan-bulan lamanya.

Selepas AJL36, ada sedikit perselisihan antara penyokong muzik independen dengan arus perdana. Sedikit sahaja, tak banyak. Saya juga terlibat sedikit-sebanyak.

Mungkin ramai yang fikir, tulisan dan ciapan saya tentang muzik arus perdana menunjukkan yang saya ini membenci muzik arus perdana. Ia tidak benar.

GENERASI TV REALITI
Dalam kalangan rakan-rakan muzik, saya yang paling arus perdana. Malah, saya sendiri segan nak mengaku saya ini anak indie. Hubungan saya dengan muzik independen, selama kira-kira sedekad, hanya sebagai pemerhati dan pengguna pasif. Zaman sekolah dan universiti, saya tak pernah turun gig.

Gig pertama yang saya hadiri adalah pada 2019. Saya juga tidak kenal dengan penggerak- penggerak muzik independen sebelum saya aktif menulis tentangnya bermula 2019. Saya bukan anak indie. Gelaran yang lebih tepat untuk saya ialah generasi TV realiti.

Saya penggila program realiti seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol dan One In A Million dahulu. Saya juga sering mengulang tonton
edisi AJL lama-lama dan sudah beberapa kali membuat analisis berkenaannya.

PLATFORM ADIL
Segala tulisan dan ciapan bitter saya terhadap muzik arus perdana bertujuan menuntut keadilan untuk bakat independen. Situasinya terlalu berat sebelah. Bakat entah apa-apa dengan mudah dapat perhatian tetapi mereka yang betul-betul berusaha menghasilkan produk berkualiti
tidak mendapat pendedahan.

Ini tidak sihat. Saya akui di arus perdana ada bakat yang bagus. Aina Abdul, Haqiem Rusli, Naim Daniel dan Aisha Retno antara nama yang boleh saya huraikan potensinya. Belum dikira nama-nama lama seperti Dayang Nurfaizah, Siti Nurhaliza dan Anuar Zain. Namun, mereka perlu dicabar.

Di sini fungsi bakat-bakat independen yang membawakan muzik yang lebih alternatif. Kelainan dan keunikan yang dibawa mereka bertujuan untuk menggoncang industri supaya bakat-bakat arus perdana tidak selesa di puncak populariti.

Mereka mengancam untuk merampas perhatian pendengar muzik muda jika bakat arus perdana tidak tampil lebih berkualiti. Namun, fungsi itu hanya akan direalisasi jika bakat-bakat independen ini turut diberi ruang untuk mempamerkan produk mereka.

Jika tersorok dari pengetahuan massa, mereka tidak dapat mencabar dan mengancam.

CABAR-MENCABAR
Ini antara isi perbualan saya dengan Fathil Alimin beberapa bulan lalu. Teori Alimin, semakin berkualiti bakat independen, semakin berkualiti bakat arus perdana. Dia mengajukan industri muzik Korea Selatan sebagai contoh.

Fakta kes yang dibawa ialah pemuzik folk elektronik misteri, Mid-Air Thief. Muziknya tidak seperti K-Idol yang anda biasa jumpa. Penuh eksperimentasi dan estetika.

Bakat independen seperti Mid-Air Thief, menurut Alimin, yang melonjakkan bakat arus perdana untuk terus menghasilkan karya yang berkualiti kerana mereka tahu, jika terus kekal pada tampuk sama populariti mereka akan dirampas dengan mudah oleh bakat
sebegini.

Mid-Air Thief juga diiktiraf dalam industri muzik Korea Selatan. Pada 2019, albumnya bertajuk Crumbling tercalon untuk kategori Album Terbaik dan memenangi kategori Album Tari dan Elektronik Terbaik dalam Anugerah Muzik Korea.

Situasi sebegini yang saya mahu ada dalam industri muzik Malaysia. Bakat arus perdana dengan independen diraikan dan diberi ruang yang adil untuk bersaing.

Untuk mencapai semua ini, penggerak utama industri perlu punya tekad. Beri ruang kepada bakat independen yang berkualiti dalam media-
media, anugerah, rancangan TV dan putaran radio. Jangan diamkan mereka.

Hentikan mengangkat penyanyi yang tiada bakat. Kurangkan perhatian kepada hal-hal luar muzik seperti gosip cinta dan perilaku melalut di media sosial.

Suburkan persaingan kualiti, barulah industri kita meningkat mutu. Sehinggalah suatu hari nanti, kita tak perlukan lagi label independen atau arus perdana kerana pemisahnya sudah tiada. Ketika itu saya pun dah boleh tutup buku Rondivu, mula karang buku baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya