PETALING JAYA: Penyanyi dan usahawan, Datuk Fazley Yaakob, turut memberi reaksi berhubung ada segelintir penggiat seni tempatan yang melakukan gimik di media sosial untuk melariskan naskhah mereka.
Menurut Fazley, sepanjang lebih dua dekad bergelar anak seni, tiada pula pengalaman diminta untuk melakukan sebarang gimik di set pengambaran.
“Saya mula berlakon dan menyanyi dari tahun 1999 lagi. Bermula dengan drama bersiri Sembilu Kasih, kemudian ke telefilem, dan ke filem-filem seperti Gerak Khas The Movie 2, Janji Diana serta Gila Bola.
“Masa itu, tiada pula kami di minta buat gimik atau propa kena cekik dan mencekik pelakon di set atau ‘berlakon’ pengsan depan pengarah dan kru produksi.
“Malah, buat-buat tercekik masa babak makan-makan sampai terpaksa panggil ambulan betul-betul bukan yang disiapkan untuk babak lakonan!” katanya.
Mengulas lanjut, Fazley turut menzahirkan rasa jangkal berhubung rentetan ‘drama’ di media sosial yang dicetuskan anak seni lain.
“23 tahun sebagai insan seni, rasanya saya tetap rasa janggal melihat rentetan “drama di media sosial” selepas drama sebenar yang mengikut skrip.
“Jika benarlah, ini cara terbaharu “pemasaran” drama, makin tertipulah kita semua, tidak begitu?
“Drama dalam drama di dalam drama?! Perlu ke melayan drama yang dipromosi berdasarkan gimik dan pemasaran murahan? Pening jadinya! Kamu semua rasa?” coretnya panjang.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, ruangan komen dibanjiri dengan pelbagai reaksi para warganet berhubunh coretan penyanyi itu.
“Tahniah Datuk Fazley, sudah menjadi salah satu untuk ‘highlight’ pemasaran mereka,” komen seorang warganet.
“Malas nak menonton drama Melayu…” komen juga seorang warganet.
“Zaman ini apa yang kita nampak di media sosial tidak tahu betul ke tidak. Ada yang berlakon untuk pemasaran, ada yang memang betul. Tidak faham, sedih pun ada,” tulis lagi pengguna lain.