KUALA LUMPUR: Naib Juara Gegar Vaganza musim ke 8, Nikki Palikat meluahkan rasa syukur apabila diberi kepercayaan untuk menyanyi dan merakamkan lagu terbaru berjudul Sudah.
Lagu yang sepatutnya dinyanyikan Allahyarham Siti Sarah Raisuddin itu merupakan ciptaan sepenuhnya penyanyi dan komposer, Naim Daniel.
Nikki yang ditemui ketika pelancaran lagu tersebut berkata dia terharu kerana diberi peluang menyanyikan lagu berentak balada itu.
“Ini satu penghormatan buat saya apabila menyanyikan lagu ini.
“Sebenarnya pelbagai emosi dirasakan saat kali pertama mendengarkannya.
“Ada sesuatu yang menarik tentang Sudah tatkala mendengarkan melodi dan bait-bait lirik yang menusuk ke dalam hati,” katanya.
Pada asalnya lagu istimewa ini sepatutnya dinyanyikan Allahyarham Siti Sarah.
Namun hasrat tidak kesampaian apabila penyanyi kesayangan ramai itu pergi bertemu pencipta pada Ogos tahu lalu.
Bagaikan menyambung legasi, penghormatan diberikan buat Nikki untuk merakamkan lagu tersebut.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Indigital Music, Nana Mohd. Rom berkata pemilihan Nikki untuk menyanyikan lagu istimewa itu adalah berdasarkan kekuatan vokal dan kebolehannya menjiwai maksud sesebuah karya.
“Pihak kami berharap lagu ini akan membawa kejayaan besar kepada Nikki juga.
“Kami akan terus memberi sokongan kepadanya dan mahu dia terus bersinar dalam industri.
“Kepada peminat arwah Siti Sarah, teruskan memberi sokongan kepada Sudah kerana ia merupakan projek terakhir yang direalisasikan,” katanya.