Gimik: Sejauh mana anak seni sanggup menagih publisiti? - Utusan Malaysia

Gimik: Sejauh mana anak seni sanggup menagih publisiti?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA, pelakon Iqram Dinzly muncul dengan aksi mencekik rakan pelakonnya, Mona Allen di set penggambaran baru-baru ini, pelakon itu sendiri mengaku bahawa ia hanyalah satu gimik yang dilakukan bagi memancing pengguna media sosial.

Kiranya, ia dilakukan dengan niat untuk membantu melonjakkan lagi perhatian ramai tentang pembikinan dan drama tersebut supaya penonton tahu dan boleh ‘membawang’ mengenai perkara yang dihidangkan.

Tetapi, adakah setiap kali gimik itu wajar dilakukan atas tiket mahu mempromosikan sesebuah karya? Apa yang menyedihkan, pelaku-pelaku pula bukanlah artis baru yang hendak naik. Rasanya tidak perlu kerana mereka sudah ada nama dan gah pada kedudukan masing-masing.

Mempromosi itu tidak salah, tapi dengan cara yang kelihatan murah, masih relevankah?

Berikut adalah pandangan yang dikumpulkan berhubung isu ini.

Tak mahu makan diri – Andi Bernadee

Semakin lama, ‘drama’ mempromosikan produk sama ada lagu mahu pun naskhah yang dibintangi, semakin menjadi-jadi.

Kalau diimbas 10 tahun lalu, evolusi promosi sekadar gimik. Tidak seperti era kini, sebagai contoh, segelintir artis berani membuat cubaan konon-kononnya bergaduh.

Menurut penyanyi Andi Bernadee, dia memilih untuk berada di dalam zon selamat. Dalam erti kata lain, mempromosikan diri dengan berkarya yang positif.

“Semua orang ada idea masing-masing. Zaman sekarang cara mempromosi itu sudah tidak macam dulu, bukan tidak relevan. Cuma perlu tarik perhatian orang dengan cara yang lebih kreatif.

“Saya lebih suka strategi pemasaran yang tidak membahayakan dan mendatangkan kesan negatif terhadap produk.

“Contohnya, saya ketengahkan dengan karya melawak,” katanya.

Mengulas lanjut, kongsi penyanyi yang popular menerusi lagu Satu Peluang dan Donde itu, dia tidak mahu khalayak bersikap skeptikal seandainya ada ‘drama’ bila ada produk yang bakal dikeluarkan.

“Mungkin sebelum ini saya pernah terkena kerana disalah tafsir buat gimik. Namun, setakat hari ini tidaklah sampai bergaduh, elak daripada orang ramai berfikiran stereotaip pada artis,” jelasnya.

Itu perkara biasa dan normal – Pekin Ibrahim

Bagi pelakon berbakat besar, Pekin Ibrahim, gimik adalah satu kaedah biasa yang dilakukan ramai pemain industri untuk memasarkan filem atau drama mereka.

Pada pandangannya, perkara itu tidak wajar diperbesarkan dan perlu dilihat dari sudut positif termasuk kesannya dalam mempromosikan produk-produk tertentu.

“Itu perkara biasa dan normal. Sekarang ini, ramai gunakan gimik untuk menularkan drama atau filem.

“Bagi saya, tak ada apa pun. Biasalah, pemasaran. Ada macam-macam cara, ada yang berjoget dan ada buat cara lain.

“Cuma, kita tidak perlu lihat dari sudut negatif. Ambil positif. Apa impaknya? Pihak terbabit pun sudah memaklumkan, gimik yang dibuat adalah untuk marketing,” jelasnya.

Pada masa sama, Pekin juga menolak sekiranya ada yang beranggapan gimik yang ‘dipentaskan’ isterinya Mona Allen dan pelakon Iqram Dinzly baru-baru ini sebagai satu cara menipu penonton.

“Saya tidak nampak gimik tersebut sebagai tindakan menipu khalayak. Audiens dah bijak. Kita letak perkara itu sebagai marketing.

“Tak perlu pandang pada sudut lain. Persoalannya sampai atau tidak sahaja. Kalau sampai, kaedah itu berjaya. Sekarang orang dah bercakap tentang perkara itu. Maksudnya, cara itu berkesan.

“Bagi saya, semua orang ada cara masing-masing. Berjoget di media sosial, TikTok. Itu pun marketing juga. Sekarang zaman media sosial. Semua bergerak cepat. Tak ada isu sebenarnya,” katanya lagi.

Netizen suka, engkau hidup. Netizen tak suka, engkau mati – Sharnaaz Ahmad

Bagi pelakon, Sharnaaz Ahmad, 37, dia cenderung melihat asas permasalahan ini timbul kerana semua pihak kini cuma ‘berkiblatkan’ kepada kelompok netizen yang kononnya menjadi penentu peralihan perhatian terhadap sesuatu perkara yang terjadi.

Bahkan, Sharnaaz dalam sindiran berasa hairan mengapa pula netizen mahu mempertikaikan sesuatu ‘gimik’ yang dilakukan oleh pengguna media sosial lain termasuk jika ia membabitkan artis atau selebriti sedangkan mereka suka mencari perdebatan dan memberi perhatian.

“Sekarang dah jadi trend. Benda-benda tular ini didoktorinkan oleh netizen. Bila jadi begitu, si netizen tak bolehlah salahkan sebab mereka juga yang cipta perkara tular itu. Mereka suka bukan?

“Mereka akan berkumpul macam busut semut untuk dapatkan apa yang mereka suka. Tapi, apa yang mereka dapat pada masa depan? Lepas mereka henyak bertubi-tubi si pelaku gimik itu di media sosial, kemudian cari pula aktiviti lain atau mangsa lain.

“Bagi sayalah, kalau untuk pemasaran, tiada istilah ‘good or bad marketing’. Anda yang suka benda tular,”katanya.

Selain itu, kata Sharnaaz lagi, keadaan ini juga berlaku kerana industri terlalu meletakkan netizen sebagai keutamaan.

“Artis, selebriti, penggiat seni atau bukan pemain industri sekali pun, semua berkiblatkan netizen sekarang. Situasinya begini. Netizen suka, engkau hidup. Netizen tak suka, engkau mati.

“Zaman dulu, stesen TV suka, engkau hidup. Stesen TV tak suka, engkau mati. Sekarang ini, stesen TV juga berkiblatkan netizen juga. Itu adalah salah.Sebab kemudiannya mencetuskan lambakan bakat yang tak ada kualiti masuk dalam industri.

“Sebab apa? Sebab benda-benda tular tadi itulah. Nak sentuh pasal gimik yang dilakonkan oleh pelakon gred A atau B pula, eh, siapa yang jadi penentu artis punya gred itu pula? Kita persoalkan semula hal itu,”katanya.

Dalam pada itu, menegur mengenai sikap sesetengah penggiat seni, baik pelakon atau pengarah yang lekas lupa diri apabila kononnya diri diangkat sebagai pelakon popular, Sharnaaz menganggap ia tidak relevan.

Baginya, popular atau telah diletakkan gred A sekali pun, ia masih belum dianggap bagus jika nama masih belum terlakar hingga ke peringkat antarabangsa.

“Kita ini pula, jangan syok sendiri. Sepuluh kali angkat anugerah dalam negara pun, kalau hang masih lagi dilihat sebagai jaguh kampung, maksudnya kita belum betul-betul bagus. Saya pun ada lapan trofi penghargaan di rumah, tapi adakah itu bermaksud saya bagus? Tidak.

“Saya ini tak ada apa-apa pun. Kalau pergi Singapura atau Indonesia, ingat mereka kenalkah Sharnaaz? Tak pun. Kalau Henry Golding, ya. Itu baru kita panggil dia pelakon gred A!”katanya.

Kenapa harus melacurkan seni? – Ogy Ahmad Daud

“Persoalan saya, perlukah untuk meraih publisiti dengan harus melakukan perkara-perkara yang akan memberi ingatan kepada masyarakat sampai bila-bila? Kenapa harus ke arah itu?”

Demikian lpersoalan yang ada di benak fikiran pelakon senior, Fauziah Ahmad Daud, mengenai ada segelintir penggiat seni sengaja melakukan publisiti ‘murahan’ bagi melariskan karya mereka.

Bagi pendapat Fauziah yang sinonim dengan panggilan Kak Ogy, dia meluahkan rasa janggal dan sama sekali tidak bersetuju dengan tindakan sedemikian.

“Saya sebagai orang lama memang tidak bersetuju dengan tindakan ini. Ia kerana, mutu kandungan lebih penting daripada publisiti yang sebegini.

“Saya terus terang tidak nampak mengapa digunakan pendekatan yang sebegitu untuk meraih publisiti. Jika karya berkenaan sememangnya bagus atau sebaliknya pun, tidak perlu melakukan cara ini. Saya rasa amat pelik dan janggal.

“Saya sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan semasa merangkul kali merangkul anugerah, jangan melacurkan seni, kita harus memartabatkan seni. Perlu faham lah apa maksud saya itu. Awak tidak boleh mempermainkan seni,” katanya.

KUALA LUMPUR , 14 JUN 2017 – Fotografi Ogy dan adiknya di Royale Bintang Damansara.
GAMBAR : WAHIDAH ZAINAL
PEMBERITA : IFDAR ( HIBURAN )

Pelakon filem terkenal Azura itu turut berpendapat, orang di belakang tabir terutama pengarah seharusnya mempunyai tanggungjawab dan memikirkan pendekatan pemasaran yang lain bagi melariskan karya, tetapi bukan dengan cara terbabit.

“Saya amat tidak menggemari kerana saya ini memang darah orang seni, yang dididik ‘Fauziah harus ada ilmu untuk memartabatkan seni’. Belakang tabir pun, sepatutnya harus mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap karya.

“Penerbit pula, tak kan mereka gemar akan gimik-gimik sebegini? Awak kalau bijaksana, tetap bijaksana. Bagi mendapat sambutan bukan hanya terletak kepada naskhah sahaja, garapan pengarah juga memainkan peranan penting.

“Berbalik kepada kenyataan saya, kenapa ya harus melacurkan seni ini? Kalau awak sendiri yakin terhadap nakshah itu, banyak lagi pendekatan lain yang mempunyai kelasnya tersendiri untuk mereka memasarkan dan menarik penonton,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya