KUALA LUMPUR: Enggan berkompromi soal keselamatan, aktres cantik, Nur Fazura dan suami, Fattah Amin memilih untuk tidak terlalu mendedahkan cahaya mata sulung mereka, Nur Fatima Aisya di media sosial.
Kata Fazura, dia dan Fattah sedar tentang kewujudan ancaman dan pengaruh negatif yang datang dari Instagram, Youtube dan sebagainya.
Disebabkan itu, pasangan suami isteri berkenaan lebih berhati-hati dan menghadkan kemunculan Nur Fatima di platform-platform seumpama itu.
“Sejak dahulu lagi, saya dan Fattah amat mementingkan privasi dan kami hanya kongsikan perkara-perkara tertentu sahaja di media sosial.
“Bila sudah lahirkan Nur Fatima, kami mahu lindungi dia daripada perkara-perkara yang tidak diingini dengan tidak mendedahkannya di media sosial dengan terlalu kerap,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Fazura berkata demikian ketika hadir di majlis Pelancaran Kempen Enfagrow A+ Segelas Kebaikan Sepenuh Harapan di ibu kota.
Dalam pada itu, penerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke 27 ini memberitahu dia dan Fattah dihujani banyak tawaran yang ingin menggandingkan mereka berdua dalam filem dan drama.
Namun jelas aktres jelita ini, buat masa ini, dia dan suami masih belum membuat apa-apa keputusan atas sebab-sebab tertentu.
“Kami terima banyak tawaran. Tetapi, kami berdua, lebih-lebih lagi Fattah belum memutuskan untuk berlakon bersama kerana dia tidak mahu emosi di set penggambaran seperti gaduh atau pukul dibawa sampai ke rumah.
“Bergantung kepada skrip juga. Ia perlu hanya berkisar tentang cinta. Kalau ada pergaduhan ataupun kekasaran seperti pukul dan sebagainya, dia (Fattah) tidak boleh semua itu. Dia percaya emosi seperti itu akan terbawa-bawa sampai ke rumah.
“Tetapi Insya-Allah, kami berdua akan mengusahakan sesuatu tidak lama lagi,” kongsinya.