KUALA LUMPUR : Susulan selepas mengumumkan pengguguran Azwan Ali atau Diva AA sebagai pengacara program Mic On! Di Awesome TV baru-baru ini, pihak stesen televisyen tersebut tampil pula membidas tuduhan mengenai baki bayaran yang didakwa belum dilangsaikan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas, pihaknya memandang serius dengan dakwaan yang dibuat dan mendedahkan telah pun membuat pembayaran penuh untuk 10 minggu kepada pengacara tersebut.
“Merujuk kepada isu Azwan yang menuntut baki bayaran untuk program MIC ON!, pihak Awesome TV memandang serius akan pertuduhan tersebut kerana pembayaran penuh untuk 10 minggu telahpun dibuat pada hari yang sama beliau digugurkan iaitu pada Selasa, 8 Mac 2022.
“Pembayaran itu tetap dibuat walaupun dia cuma melunaskan komitmen sebagai hos untuk tempoh 6 minggu sahaja. Surat pemberitahuan rasmi mengenai penamatan khidmat dia juga telah dikeluarkan pada hari yang sama.
“Kami beranggapan isu bayaran untuk program MIC ON! sudahpun selesai dan tidak mahu memanjangkan lagi hal ini. Fokus utama kami sekarang adalah untuk menghabiskan program MIC ON! yang masih berbaki empat minggu lagi,”katanya.
Adam berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media hari ini.
Selain itu, Adam sekali lagi menegaskan, pihak Awesome TV tidak akan bertolak ansur sekiranya terdapat mana-mana pihak yang melanggar etika kerja terutamanya yang melibatkan program-program terbitannya.
“Ini kerana mereka seharusnya memahami amanah dan tanggungjawab yang datang bersama dengan lantikan mereka,”katanya.
Dalam pada itu, pihak produksi juga turut merancang membawa masuk khidmat hos jemputan untuk digandingkan bersama hos sedia ada, Issey Fazlisham, bagi memeriahkan lagi konsert mingguan MIC ON!
Nantikan pengumuman rasmi dalam jangka masa terdekat ini. MIC ON!
bersiaran pada setiap hari Jumaat, 9.00 malam menerusi saluran Awesome TV di platform Astro 123 dan MyTV 112.