KUALA LUMPUR : Pelakon Rozita Che Wan, 49, mengaku dirinya kini menjadi lebih paranoid selepas pernah menjadi mangsa jangkitan Covid-19 pada bulan lalu.
Menurut pelakon yang mesra disapa Che Ta itu, dia kini amat berhati-hati dalam menjaga prosedur operasi standard (SOP) setiap kali ke mana-mana.
“Saya kena teruk tahu. Takut juga sebab keadaan saya sampai melepek, tak larat. Malah selepas tempoh kuarantin tamat pun tubuh saya masih dalam keadaan lemah.
“Tetapi mahu atau tidak saya tetap kena kuat semangat kerana perlu menyempurnakan penggambaran babak membabitkan saya yang tertunda untuk drama bersiri 20 episod berjudul Mem Bibik.
“Sekarang saya lebih berhati-hati sampaikan di set saya dah jadi umpama pegawai kesihatan, selalu ingatkan pelakon lain pakai pelitup mulut selagi belum giliran mereka beraksi selain jaga SOP,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Wanita Sedunia, semalam.
Selain itu, kata wanita yang meraikan ulang tahun ke-49 semalam, hanya dia berdepan simptom teruk manakala dua anak lelakinya yang turut disahkan positif, Ammar Effendy, 25, dan Aniq Ezzra, 23, hanya bergejala ringan.
Berkongsi pengalamannya menjalani kuarantin kendiri bermula 23 Februari lalu, pelakon jelita ini memaklumkan dia terkena jangkitan di lokasi penggambaran Mai Cheq Deco.
“Pengurus hubungi saya sehari minta saya buat ujian saringan selepas menjalani penggambaran dengan penyanyi asal Korea Selatan, Han Byul untuk Mai Cheq Deko sebaik dapat berita dia positif.
“Jadi saya terus ke klinik namun keputusan ujian menunjukkan hasil negatif. Pada sebelah malamnya, saya mula sakit badan, kepala berdenyut-denyut cirit birit, muntah, batuk, demam dan selsema.
“Sakit yang saya rasai susah untuk diperincikan. Orang yang lalui simptom teruk saja dapat gambarkan keadaan itu. Serik dan taubat tak mahu kena kali kedua. Saya memang elak ke acara terbuka, bimbang risiko.
“Macam hari ini sebab ia berkenaan ibu tunggal dan kebetulan saya ambil cuti dua hari sempena hari jadi. Bukan apa, saya takut apa-apa jadi nanti tertangguh lagi kerja penggambaran,” katanya.
Dalam pada itu, terdahulu, pada majlis tersebut Che Ta turut diumumkan sebagai duta kempen Jols for Rozita Che Wan yang membantu ibu tunggal menerusi jualan tudung edisi terhad Jols Luxe Fabrics.
Menurut Pengasas Jols Luxe Fabrics, Johan Lim, dia dan isterinya, Alia @ Seri Hadia memilih Che Ta sebagai duta kempen bagi memberi inspirasi dan membantu golongan ibu tunggal.
Malah katanya, koleksi tudung yang mendapat sentuhan isterinya sendiri itu direka khas mengikut personaliti yang sentiasa dinamik, penuh karektor serta sukakan warna garang.
“Menerusi 10 peratus hasil jualan, kami akan salurkan kepada ibu tunggal, itu misi kami iaitu untuk bantu mereka bangun dan teruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya.