Artis cakap tak guna otak: Di mana pengurus, publicist? - Utusan Malaysia

Artis cakap tak guna otak: Di mana pengurus, publicist?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAHAGIAN daripada kelompok pemain industri termasuk media juga sudah sedia maklum, apabila seseorang artis atau selebriti itu galak melontarkan sesuatu komen atau pandangan, adakala dalam tidak sedar, kenyataan mereka itu boleh mengundang bahana.

Maklum sahajalah, apabila tidak bersetuju tentang sesuatu isu ditambah pula tidak dapat mengawal emosi dan kurangnya ilmu pengetahuan, lazimnya ia akan membawa kepada senario panas atau kontroversi.

Mungkin apabila kontroversi itu tercetus, si pelaku pada awalnya tidak menginginkannya. Namun, dek terlalu menurutkan hati dan ego,kesilapan itu pun berlaku. Lagi pula, zaman sekarang, percakapan juga dizahirkan melalui lajunya jari-jemari menulis kenyataan di media sosial.

Lebih malang apabila artis atau selebriti itu tidak mempunyai pengurus, pegawai perhubungan awam (PR) atau publicist yang
menjadi orang penting dan tahu bagaimana mahu menyelamat dan memperbaiki kerosakan yang telah berlaku.

Tetapi sejauh mana pula artis merasakan peranan pengurus itu penting dalam kerjaya mereka? Berikut ada beberapa pandangan.

Jangan sombong atau bodoh sombong – Opie Sofia

MERUPAKAN antara pemain industri yang menggalas tugas-tugas berkenaan sejak sekian lama, Che Wan Sofiatul Shima Wan Chik tidak menolak bahawa seseorang artis sama ada penampilannya secara solo mahupun berkumpulan, tidak seharusnya mengetepikan peranan pengurus atau publicist dalam kerjaya mereka.

“Bagi saya, jika individu atau kumpulan mahu bergerak secara profesional, perlu ada pasukan yang menyokong pergerakan kerjaya mereka.

“Contohnya, pengurus, kru, publicist atau PR yang akan memfokus kepada segmen-segmen pergerakan artis tersebut.

“PR dan publicist bertindak sebagai ejen yang memperkenalkan produk artis dan merancang pergerakan artis tersebut,” katanya.

Dia yang juga popular dengan panggilan Opie Sofia berkata, artis juga usah ego atau mendabik dada kerana di akhirnya lingkungan dunia seni itu sendiri adalah saling memerlukan antara satu sama lain.

“Jika ada kekangan dari segi peruntukan bajet, artis tersebut perlu perluaskan jaringan networking malah ilmu agar tidak terhambat dengan satu sudut pandang sahaja.

“Bukan itu sahaja, sikap peduli dan banyak bertanya pada pihak profesional atau artis lama juga perlu agar kemahiran berkomunikasi itu dapat ditambah. Apa yang penting jangan sombong atau bodoh sombong,” katanya.

Pengurus, publicist perlu main peranan – Kael

BAGI pelakon yang namanya meningkat naik, Kael, peranan seorang pengurus atau publicist adalah penting untuk membentuk kerjaya pelakon atau penyanyi lebih-lebih lagi mereka yang baru menapak di dalam industri.

Katanya, seseorang artis wajar mempertimbangkan untuk melabur sedikit wang untuk menggajikan pihak yang berpengalaman dan berkemahiran dalam membimbing mereka dan membantu membentuk, menjaga dan mengekalkan imej yang baik.

“Penjagaan imej seseorang artis sangat penting. Pengurus perlu main peranan mereka dengan sepenuhnya.

“Jangan takut mengeluarkan wang untuk mendapatkan pengurus atau publicist yang bagus. Itu adalah satu pelaburan yang baik untuk perkembangan kerjaya mereka.

“Tetapi saya faham. Ramai artis yang enggan berbuat demikian kerana wujud keraguan atau isu kepercayaan,” katanya.

Namun begitu, pelakon yang sedang hangat namanya menerusi drama Suamiku Lelaki Pendosa ini juga berpandangan terdapat sebilangan besar pengurus yang lemah dan tidak berkemahiran berkaitan selok belok industri dan pengurusan perniagaan untuk menaikkan nama artis.

“Ini pandangan saya. Kita ada label atau syarikat- syarikat pengurusan besar yang mampu jaga dan naikkan nama artis.

“Namun, kita masih kekurangan pengurus yang mahir aspek seni dan pengurusan perniagaan yang mana penting untuk menaikkan taraf pengurusan
artis di Malaysia. Sebab itu ada artis yang lebih selesa menguruskan kerjaya mereka sendiri.

“Jadi, penting sebenarnya untuk industri kita melahirkan lebih ramai pengurus yang mahir dalam elemen-elemen yang disebutkan itu,” jelasnya.

Jangan main hentam kromo bila bercakap – Jasmin Hamid

PELAKON versatil, Jasmin Hamid berpendapat anak seni terutama bakat-bakat baharu perlu rajin mencari ilmu bagi memudahkan berkomunikasi
dengan menggunakan akal yang baik.

Jelas pelakon drama Cukup Derita Itu, mereka juga sebaiknya jangan mudah melatah jika diajukan pelbagai soalan yang agak ‘panas’ daripada pihak media.

“Rajin-rajinlah membaca, belajarlah bagaimana untuk berinteraksi dan mencari ilmu. Aku pun ‘berTikTok’ juga. Jangan main hentam kromo
sahaja apabila bercakap.

“Walaupun anda ada pengikut berjuta, tetapi jangan nampak ‘bodoh’. Biar kita tidak berpelajaran tinggi tetapi jangan bodoh.

“Jangan cepat melatah dan carilah ilmu. Jaga juga akhlak kita, Insya-Allah kita akan dipelihara dan sentiasa relevan dalam industri seni ini,” katanya.

Jelasnya lagi, peranan pengurus adalah penting dalam menjaga imej seseorang artis jika terpalit dengan isu kontroversi.

Bagaimanapun, mereka ini juga boleh merosakkan karier artis berkenaan sendainya tidak memahami fungsi pekerjaan mereka yang sebenar.

“Peranan mereka penting kerana dianggap sebagai diari untuk seseorang artis itu.

“Artis pun haruslah bekerjasama juga. Namun, tidak dinafikan ada juga segelintir pengurus yang merosakkan imej artis berkenaan.

“Mereka ini boleh juga menghancurkan karier seseorang itu jika tersilap langkah. Kadang kala, pengurus sendiri tidak tahu apa fungsi tugasan mereka,” ujarnya.

Media nak beri publisiti, peranan PR sangat penting – Azureen

TIDAK semua artis pandai berinteraksi dengan baik bila berdepan dengan wartawan.

Tambah pula bagi pendatang baharu yang tiada pengalaman atau pun tiada pendedahan di dalam bidang hiburan.

Selaku pegawai perhubungan awam (PR), Azureen Soon, menegaskan bahawa peranan seorang PR, pengurus artis mahu pun publicist itu, perlu mendidik artis jagaan mereka sebaik-baiknya supaya tidak salah bual.

“Di dalam hal ini, peranan mereka sangat penting untuk menjaga imej kedua-dua pihak.

“Artis baharu terutamanya, mereka tiada pengalaman dan tidak kenal rakan-rakan wartawan dalam industri hiburan. Jadi bila mereka berjumpa dengan wartawan, kemungkinan mereka ada rasa takut atau pun
janggal.

“Disebabkan itu, kelakuan atau cara artis tersebut menjawab soalan, seperti acuh tak acuh ini yang akan menampakkan kredibiliti PR tidak cantik,” ujarnya.

Kata Azureen, PR mahupun pengurus artis itu,perlu menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Sebagai pengantara, artis perlu diberi taklimat dan informasi berkaitan sebelum dibawa berjumpa dengan pihak media.

“Selain itu, mereka juga perlu memberikan nasihat kepada artis tersebut untuk menjaga keterampilan diri dan bersikap mesra. Media ini nak beri publisiti, jadi kenalah pandai berinteraksi.

“Bila seseorang artis itu nampak kemas, pandai berinteraksi, yang nak temu bual pun akan rasa selesa dan ini akan permudahkan kerja kedua-
dua pihak,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN