PETALING JAYA: Pelakon, Elfira Loy, mencuri perhatian warganet selepas melakukan aksi lompatan dalam keadaan hamil dan berkasut tumit tinggi di sebuah kolam renang dekat sebuah pusat peranginan baru-baru ini.
Menerusi entri Instagram, pelakon naskhah popular Qalesya itu memuat naik video yang menunjukkan dirinya berlari dan melompat ke dalam kolam renang sewaktu bercuti bersama keluarga.
Di ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan rasa bimbang dengan tindakan Elfira yang dianggap bahaya untuk dilakukan seorang wanita hamil.
“Ya Allah, El. Lajunya lari dan lompat itu, haha bahaya lah! Sepatutnya minta Faris dukung!” komen pempengaruh Syafiqah Aina.
“Pakai kasut tumit tinggi berlari dan melompat. Ya tuhan, takut tengok,” komen juga seorang warganet.
“Aduh kalau jatuh ini, menyesal seumur hidup,” tulis seorang lagi pengguna.
Selain itu, ada juga yang menitipkan pesanan kasih sayang buat pelakon berkenaan.
“Janganlah mengambil risiko. Kalau lah ditakdirkan terjatuh, risiko bahaya untuk ibu dan bayi. Tolong jangan buat,” komen seorang netizen.
“Ya Allah risaunya tengok si El ini melompat. Hati-hati adik oi…. Badan hendak pakai lama itu,” komen netizen lain.
Menerusi ruangan kapsyen, Elfira ada mengingatkan agar aksi berkenaan tidak menjadi ikutan para ibu hamil di luar sana.
Setakat ini, video berkenaan telah menerima lebih 78,029 tanda suka dan 792 komen daripada warganet.
Sekadar informasi, Elfira dan Faris Khairul Anuar selamat diijab kabulkan pada 1 Januari 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.