KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pengacara, Nana Mahazan menegaskan untuk berjaya, seseorang itu jangan malas dan perlu selari dengan tindakan.
Jelas bintang kelahiran Akademi Fantasia musim pertama itu, majoriti menginginkan wang lumayan untuk melunaskan komitmen namun tiada usaha.
“Ramai yang jawab nak RM100,000. Memang betul bukan, semua perlukan duit sekarang. Nak berikan kebahagiaan pada keluarga, bayar hutang, segala macam perlukan duit.
“Tapi siapa yang nak bagi RM100,000 dekat kita? Dan kita tahu kita perlukan duit itu. Sekarang persoalan seterusnya, kenapa kita tidak cuba usahakan untuk dapatkannya?
“Ajak kawan yang ada niat dan impian yang sama, usaha sampai jadi. Tak mustahil untuk kita dapat dan ada RM100,000 bukan? Jangan sekadar berharap, tetapi lakukannya,” ujarnya.
Nana menerusi perkongsian di Instagram miliknya berkata, tiada individu yang berjaya andai bersikap malas.
“Tidak ada kejayaan untuk orang yang malas dan tiada tindakan. Kita tak malas bukan?Jom buat tindakan! Teruja diberikan hari yang baru untuk kita usaha dan usaha lagi!,” tegasnya.
Terdahulu Nana yang terkenal dengan sikap periangnya itu menerusi satu perkongsian di Instagram bertanyakan tentang pilihan antara wang dan sahabat setia.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati majoriti pengikut dan peminat Nana memilih wang.
Untuk rekod, selain bergelar penyanyi, pelakon, dan pengacara, Nana mempunyai perniagaan sendiri yang diasaskan sejak 2018.