KUALA LUMPUR: Penyanyi berbakat besar, Elica Paujin, 23, mengakui dirinya memikul tanggungjawab besar sebagai antara penyanyi kelahiran Sabah yang berjuang di pentas Big Stage 2022.
Kata empunya nama sebenar Angelica Paujin ini, tekanan memang dirasakan memandangkan penduduk kampung halamannya menaruh harapan agar penyanyi itu berjaya dalam program tersebut.
“Sebenarnya, debaran bermula sebelum peserta diumumkan lagi.
“Orang kampung yang mengenali saya memang mengharapkan saya sertai Big Stage. Jadi tekanan itu memang ada.
“Lebih-lebih lagi sekarang, setelah ramai tahu yang saya adalah antara peserta dalam program berkenaan,” kata penuntut aliran vokal di Sabah Institute of Art itu.
Elica menyertai rancangan Mentor Milenia sekitar tahun 2017. Pada 2020, dia mencipta nama di Indonesia apabila menjuarai program Star Riser yang diadakan di Jakarta.
Elica mengakui, dirinya lebih dikenali di Indonesia berbanding negara sendiri. Kata anak kelahiran Tambunan ini, perkara itu terbukti dengan adanya sejumlah peminat dari Indonesia yang mengikutinya di media sosial.
“Kebanyakan yang memberi reaksi di media sosial saya adalah orang luar. Ramai juga dari Indonesia.
“Dari situ saya ketahui bahawa orang Indonesia juga mengikuti perkembangan saya,” ujarnya.