Sukarelawan Team Ar-Rijal terpanggil dan simpati setelah mendapat maklumat Pondok Pok Kob antara institusi hafiz al-Quran dan pengajian Islam tersohor di Chenor yang terjejas teruk dengan musibah banjir.
Seramai 25 orang sukarelawan banjir Team Ar-Rijal, Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut (MTMAJ) mengambil inisiatif meringankan beban penduduk. Mereka bergotong-royong membersihkan Madrasah Raudhah Al-Muhibin atau lebih dikenali kalangan penduduk setempat, Pondok Pok Kob, di Chenor, Pahang. Pondol itu ditenggelami banjir Sungai Pahang baru-baru ini.
Tinggalan lumpur banjir dan kerosakan berlaku di pejabat pengurusan, pusat pembelajaran, rumah pelajar, dapur, perlatan tidur, pakaian dan persekitaran kawasan tersebut.
Sukarelawan Team Ar-Rijal telah membuat persediaan yang rapi untuk misi tugasan tersebut dengan kelengkapan peralatan bergotong-royong. Sumbangan tertentu yang membolehkan pusat pengajian agama tersohor di kawasan Chenor itu pulih semula.
Sebelum berlepas ke lokasi, ketua sukarelawan yang juga Imam Satu MTMAJ, Mohd. Fikri Hamzah telah memberikan taklimat ringkas mengenai program gotong-royong. Ini termasuk tujuan aktiviti tersebut dengan memilih Pondok Pok Kob dalam usaha membantu meringankan kesusahan pihak pengurusan dan pelajar di situ.
Sebelum mengenderai tujuh buah kenderaan di perkarangan MTMAJ, Imam Mohd. Fikri telah membacakan doa supaya selamat sampai ke lokasi serta memohon dipermudahkan tugas bergotong-royong membersihkan pondok tersebut demi meringankan pentadbir dan pelajar di situ.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Imam Mohd. Fikri menjelaskan, kerja amal itu dilakukan setelah mendapat perkhabaran Madrasah Raudhah Al-Muhibbin dilanda banjir mengakibatkan banyak kerosakan dan tinggalan lumpur yang tebal selepas air banjir surut.
“Bersimpati dengan nasib pihak pengurusan dan pelajar pondok tersebut, ahli jemaah MTMAJ menggerakkan sukarelawan Ar-Rijal untuk membantu segera membersihkan institusi pengajian yang banyak melahirkan ramai hufaz (tahfiz al-Quran) dan pengajian bidang Islam.
“Aktiviti bergotong-royong selama sehari suntuk menerbitkan rasa insaf dan menguatkan lagi takwa serta beristiqamah dengan ujian Allah SWT. Sebagai makhluk-Nya, kita perlu reda berasaskan ada hikmah di sebalik musibah ini,” katanya.
Menurut Mohd. Fikri, selain sukarelawan MTMAJ, terdapat juga kehadiran kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang turut bergotong-royong membantu menyelesaikan kerja pembersihan lumpur tebal yang melekat di lantai dan dinding premis termasuk membaikpulih peralatan di kelas, dapur, almari dan rumah penginapan.
RINGAN BEBAN
Sementara itu, anggota Team Ar-Rijal MTMAJ, Mohamad Zamri Mat berkata, usaha bergotong-royong itu antara inisiatif terbaik untuk meringankan pihak pengurusan pondok bagi memulakan sesi pengajian semula selepas tempoh pemulihan bencana banjir itu.
“Kami amat terkejut apabila tiba di madrasah (pondok) ini melihat keseluruhan persekitaran dipenuhi lumpur tebal dan kesemua peralatan pejabat, kelas pengajian, dapur dan kediaman mengalami kerosakan kerana ditenggelami air Sungai Pahang sewaktu banjir.
“Namun, sebilangan kecil sahaja peralatan masih boleh digunakan selepas dibersihkan lumpur, manakala perkakasan elektrik dan lain-lain rosak apabila terendam di dalam air yang difahamkan tidak sempat diselamatkan,” katanya.
Selanjutnya, Mohamad Zamri yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan Pulau Mansok, Jerantut menjelaskan , semangat gotong-royong yang dizahirkan tidak langsung memenatkan badan malah sukarelawan berasa gembira dan insaf di samping berpeluang menjalinkan ukhuwah bersama anggota NGO lain.
Katanya, peranan sukarelawan Ar-Rijal menerusi kerja amal memenuhi hasrat saling-membantu antara satu sama lain khususnya pihaknya yang ditimpa kesusahan dalam kerangka kebajikan dan ketakwaan.
Ujarnya, perkara itu seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, ‘Sesiapa yang mempermudahkan ke atas orang yang susah maka Allah akan mempermudahkan urusan dirinya di dunia dan juga di akhirat’.
Dalam pada itu, mudir Madrasah Raudhah Al-Muhibbin, Barkatullah Mohd. Bahari berkata, pihak pengurusan pondok tersebut amat bersyukur dengan segala bantuan tenaga dan kebendaan yang disumbangkan oleh sukarelawan Team Ar-Rijal dan NGO lain yang turut membantu memulihkan persekitaran pusat pengajian itu.
“Semoga Allah SWT melimpahkan ganjaran yang besar kepada mereka yang datang membantu kerja pembersihan ini bagi mempercepatkan pondok ini beroperasi semula untuk pengajian al-Quran dan pendidikan Islam dengan selesa selepas ini,” ujarnya.