PETALING JAYA: Pengarah dan penerbit, Jinggo mendedahkan dirinya sering mendengar pelbagai keluhan daripada pemain industri yang mendakwa diri mereka tertekan apabila bekerjasama dengan produksinya, JS Picture.
Perkara tersebut dikongsikan oleh suami kepada pelakon dan pengarah Sheila Rusly itu menerusi entri Instagram miliknya.
Menurut Jinggo, mereka yang menyuarakan keluhan itu dilihat hanya bercerita mengenai detik-detik tegang sahaja namun tidak pula ketika sedang bergembira.
Bagaimanapun, dia sama sekali tidak mengambil pusing dan mempedulikan mengenai perkara tersebut.
“Assalamualaikum Malaya. Ramai artis, krew serta ekstra dengan siapa entah bercakap kerja dengan JS Picure ini stress.
“Tension asyik kena marah tetapi tidak cerita masa gembira pula sebab selalunya masa kena marah itu mereka datang lambat, tidak membaca skrip atau buat ‘homework’.
“Banyak main dari kerja serta banyak gelak dari fokus… kena lah sebijik kan. Itu lah makan dia. Apa pun, orang Perak kata… saya tidak kisah! Lantak lah kome (kamu)!” luahnya di Instagram.
Mengulas lanjut, Jinggo memberitahu dia dan isteri tidak akan sesuka hati menegur atau memarahi tanpa sebab yang munasabah.