‘Saya seperti ada tetapi ‘dighaibkan’…’ - Fazley Yaakob - Utusan Malaysia

‘Saya seperti ada tetapi ‘dighaibkan’…’ – Fazley Yaakob

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RASANYA ramai antara kita tahu kisah pahit yang lama dipendam lelaki ini. Berdekad dia menahan badai ombak dengan benteng sabar dan kasih sayang. Hatinya setegar itu.

Pelbagai kisah yang didengar. Siapalah saya untuk menidakkan atau mengiyakan. Saya cuma tukang tadah telinga. Sekadar menukang madah menjadi baris ayat. Ketika diminta untuk membuka cerita, dia memandang tepat.

Matanya menghantar isyarat kepercayaan, agar apa yang diungkapkan dicerminkan dengan kata-kata baik. Dia sebolehnya tidak mahu sesiapa terasa atau berkecil hati. Cukup dia berkongsi cerita.

Diaju soalan, sesukar mana perjalanannya dalam industri seni, Datuk Fazley Yaakob mengukir senyuman terlebih dahulu. Dia menghela nafas dalam. Menyambung cebisan memori pahit manis yang dilalui.

“Mungkin di mata segelintir anda, perjalanan saya mudah. Alirannya tenang, tetapi jujur saya katakan. Tidak setenang itu. Derasnya adakala menolak saya ke tepi, menahan dari terus berlari. Seperti merangkak semula.

“Saya pernah berada dalam satu keadaan tiada sesiapa di sisi. Seperti ada tetapi ‘dighaibkan’. Dinafikan kejayaan, diherdik dan diancam dengan kata-kata yang tajamnya menewaskan mata sebilah pisau.

“Tetapi itu bukan garisan penamatnya. Perjalanan itu sungguh jauh. Penat tetapi tidak bererti rehat untuk terus berhenti. Apa yang saya lalui, cukup sekadar dikongsi dengan mereka yang punya hati,” katanya.

Dia seperti menyimpan cerita. Tidak mahu mencanang apa yang pernah dilalui. Kesakitan itu ditanggung sendiri. Biarkan mereka yang tahu, tahu. Tidak mahu menyebar cerita menambah keaiban yang ada.

Lantas saya lontar soalan, pernahkah dia berfikir untuk mengangkat bendera putih? Menamatkan karier sebagai seorang anak seni. Untuk apa dia bersusah payah menjaga hati bukan?

“Jujur cakap, ada satu ketika memang saya kesal jadi artis. Ketika ini dunia Twitter sedang menjadi ruang permainan ramai. Di saat itu, baru kita tahu apa itu kecaman, makian dan herdikan.

“Terlalu banyak kecaman diterima. Hinaan yang dahsyatnya mengguris hati. Baru tahu sukarnya menjadi artis kerana ramai mata-mata yang terus mengecam setiap satu tindak tanduk kita.

“Tetapi penyesalan itu menjadi kekuatan baharu. Menguatkan jiwa raga. Sekarang saya fikir, kalau orang tak kecam, tanda orang tak ambil peduli. Alah bisa, tegal biasa,” kata lelaki kiriman Tuhan kepada Azrene Ahmad ini.

Kanvas baharu

Semalam berlangsungnya mini konsert Yang Sedang Sedang Sahaja Datuk Fazley Yaakob. 22 lagu dipersembahkan. Siang dan malam, itu satu kerja gila. Tetapi dia berjaya membuktikan kemampuan.

Cuma kali ini berbeza. Ratusan mata menjadi saksi dia seperti bernafas semula dalam dunia nyanyian selepas hampir sedekad ‘menyepi’. Tetapi dalam kanvas baharu. Bukan lagi Abang Asmara.

23 tahun dalam industri, namanya terkait dengan gelaran itu. Mahu atau tidak, dia perlu mengakui lagu Asmara Ini menempatkan dia dalam industri. Tetapi strategi seni dan rezeki yang mengekalkan namanya sehingga kini.

“Saya mahu move on. Bukan bosan tetapi ‘kehidupan baharu’. Sudah tiba masa untuk saya mengucapkan selamat tinggal kepada Abang Asmara. 23 tahun, kanvas seni saya penuh warna warni.

“Cuma impak Gegar Vaganza memberi warna berbeza. Peminat mula tahu, saya punya bakat dalam genre berbeza. Saya perlu mengubah tanggapan. Ya, saya tak hebat tetapi bukan tak boleh menyanyi.

“Senang cakap, yang sedang-sedang sahaja. Tahun ini menyak­sikan pelan seni saya kembali membara. Pelbagai projek dalam perancangan. Sampai masa, saya akan umumkan,” jelas anak pertama daripada empat beradik ini.

Namun perancangan itu menuntutnya untuk mengorbankan minatnya terhadap dunia lakonan. Kesibukan sebagai seorang anak, suami, bapa, penyanyi, Masterchef, usahawan, pelajar dan banyak lagi menjadi penghalang.

“Saya terima banyak tawaran lakonan, termasuk untuk menjadi teraju utama dalam dua filem. Malah, untuk leading drama bersiri pun saya terpaksa tolak. Saya mahu fokus kepada nyanyian dan masakan. The Singing Masterchef!

“Tetapi untuk cameo atau penampilan khas, saya terbuka. Ada juga tawaran tetapi perlu dipertimbang dan disusun. Alhamdulillah, rezeki,” kata bapa kepada empat orang anak ini.

Suara seorang Fazley

Jika ada yang mengatakan Fazley seorang yang bitter, saya dengan bulat hati menyangkal. Mengenali figura hebat ini, dia bersuara tepat pada waktunya. Membangkang tiap tingkah laku atau kata-kata yang menjatuhkan.

“Saya bersuara bila perlu. I am a defender, tembok pertahanan orang. Bila ada pempengaruh atau selebriti yang menjatuhkan maruah orang lain, saya tidak takut untuk bersuara. Kuasa, duit bukan lesen untuk menjatuhkan orang lain.

“Ambil contoh isu Anuar Zain baru-baru ini. Dia sahabat saya, kami sama-sama bertatih dalam industri. Bila ada yang cuba mengaibkan dia, saya perlu bersuara. It’s too much!” katanya tegas.

Cuba mengorek pengalaman lalu, Fazley membuka cerita dia pernah dihina lantaran berbadan besar dan muka berjerawat. Orang melihat dia atas bawah. Seperti sungguh hina bagi seorang artis berpenampilan begitu.

“Pernah sekali, saya dihalau oleh penganjur gara-gara berbadan besar dan berjerawat. Dia ingat saya peserta pertandingan karaoke. Memang malu sangat ketika itu. Orang tak kenal saya.

“Tetapi setahun selepas itu, saya kembali dengan penampilan lebih kurus serta wajah yang flawless. Orang siap berkompang, ada bunga manggar kiri kanan. Saya sinis balik,’ Eh, you lupa ke I yang gemuk dulu?’.

Jauh di sudut hati penyanyi Bila April ini, dia mengakui industri seni mementingkan rupa paras. Kalau berbadan besar, muka tak flawless memang susah nak pergi jauh.

“Tetapi sekarang dunia sudah berubah. Kita menerima dan meraikan kepelbagaian. Saya seronok melihat perkembangan dunia seni. Tak macam dulu-dulu. Kalau muka tak kacak, bye-bye lah!” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya