PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Arin Raja Lawak tampil menjawab berhubung dakwaan liar yang mengatakan dia telah meninggal dunia.
Perkara tersebut dimaklumkan pelawak itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di platform TikTok miliknya.
Menurut Arin, dia kini masih lagi sihat dan menjalani kehidupan seperti biasa.
Selain itu, Arin Raja Lawak turut meluahkan penghargaan kepada semua pihak yang prihatin mengenai dirinya.
“Hai, Assalamualaikum. Terima kasih yang bertanya saya di mana. Saya di sini, tidak berganjak lagi.
“Yang cakap saya arwah itu, biarlah. Tidak mengapalah, kecil punya hal. Allah ada,” jawabnya di TikTok.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, rata-rata warganet menitipkan kata semangat dan meniupkan doa yang baik-baik buat dirinya.
“Abang Arin! Pelawak kegemaran saya! Rindunya, zaman tiada internet dahulu rajin menonton lawak abang. Semoga sihat selalu,” komen seorang peminatnya.
“Mantap, semoga sihat selalu dan sentiasa dirahmati,” komen juga seorang warganet.
“Sihat Rin? Nampak macam sakit sahaja. semoga baik-baik selalu,” komen seorang pengguna.
Setakat ini, video tersebut telah meraih lebih 35,000 jumlah tontonan. – UTUSAN