PETALING JAYA: Penyanyi baharu, Megat Rahim memohon maaf kepada semua kerana tidak dapat melakukan persembahan pada minggu pertama program realiti Big Stage 2022 kerana disahkan positif Covid-19.
Perkara tersebut dikongsikan penyanyi lagu Sinar itu menerusi entri Instagram miliknya.
“Assalamualaikum sahabat Megat semua! Cuma nak beritahu yang saya betul-betul minta maaf kerana tidak muncul untuk Big Stage minggu pertama.
“Saya disahkan positif Covid-19, Alhamdulillah saya semakin baik dari hari ke hari. Kita jumpa pada minggu hadapan, Insya-Allah,” kongsinya.
Menerusi satu hantaran di Instastory, Megat memakumkan pada 6 Februari (semalam), dia sudah selesai menjalani kuarantin dan dijangka memotong gelang pada hari ini.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet dan rakan artis menitipkan doa yang baik-baik buat penyanyi tersebut.
“Semoga cepat sembuh Megat, Insya-Allah jumpa awak di minggu hadapan,” komen seorang warganet.
“Semoga cepat sembuh adik, ternanti-nanti persembahan Megat. Rupa-rupanya kurang sihat,” komen peminatnya yang lain.
Sebelum ini, salah seorang peserta Big Stage musim keempat itu menjalani kuarantin di rumah selepas dijangkiti virus berkenaan pada 31 Januari lalu.
Sekadar informasi, seramai 12 peserta berasal dari Malaysia, Indonesia serta Brunei berentap di pentas pembukaan Big Stage 2022, malam semalam.