Mereka cuma suka ‘drama’... - Sharifah Rose

Mereka cuma suka ‘drama’… – Sharifah Rose

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA nama pelakon Sharifah Rose kembali menjadi topik hangat di pelbagai platform media sosial, ramai kemudiannya meluncur laju berpatah balik ke belakang, mengingati semula kontroversi bakat lakonan ‘kayunya’.

Sudahlah. Hal itu telah pun selesai. Malah, Rose juga sudah membuktikan kepada semua bahawa dia tidaklah sekayu itu dan ternyata memang memiliki bakat terpendam. Dia cuma perlu bertemu dengan orang bijaksana yang berupaya menggilap bakatnya dengan baik.

Tutup buku tentang itu, datang pula kontroversi baru. Kononnya, Rose yang baru sahaja berjinak-jinak dalam dunia perniagaan, telah menciplak idea orang lain pada jenama tudung Sekuntum.

Ia malah, turut melibatkan strategi pemasaran pada bentuk iklan dan sebagainya. Ketika dilayangkan pertanyaan mengenai apa yang berlaku, ada nada lelah dan kecewa pada bait-bait suara kecilnya.

Iyalah, bukan mudah hendak menepis ‘serangan’ daripada netizen. Datangnya bukan cuma satu, tetapi daripada pelbagai penjuru serentak yang membuatkan sesiapa sahaja mampu dibelenggu dengan rasa sedih dan kemurungan andai hatinya tidak kental.

“Itu yang saya rasakan pada awalnya. Entah mengapa, tersentak di hati bila memikirkan kenapa setiap perkara yang saya lakukan, akan ada orang yang cuba nak cari kesalahan. Mesti ada yang nak dipertikaikan.

“Mesti ada benda yang seolah-olah nak cakap saya tak boleh buat, tak layak, tak bagus, begitu dan begini. Tak dinafikan, ada kalanya terdetik juga di hati rasa ragu-ragu dengan kemampuan diri kerana mulut orang.

“Tapi, saya cuba kecilkan skop pandangan, melihat wajah-wajah orang sekeliling yang sentiasa memberi sokongan, yang nampak potensi saya lebih daripada diri sendiri mampu lihat. Semangat itu perlahan-lahan kembali semula,”katanya.

Mengaku adakala tertekan, kata Rose, dia bukanlah seorang artis yang suka apabila diri terpalit dengan kontroversi. Malah, pernah juga terdetik, andai diri menjadi orang biasa, pasti sahaja perkara seperti ini tak perlu dilalui olehnya.

Ya, sekurang-kurangnya, bukan di usia muda seperti ini.

“Tapi nak buat macam mana. Allah SWT sudah takdirkan ini jalan saya. Mungkin daripada perasaan sedih itu saya boleh tukarkan menjadi sesuatu yang positif. Ya, dari sudut baiknya, mungkin selepas ini orang nak lebih kenali diri dan juga perniagaan saya,”katanya.

Pun begitu, sebagaimana manisnya nama bak sekuntum bunga mawar, Rose, tidak sekali pun mahu menyalahkan mana-mana pihak, meski sedar, adakala golongan netizen ini sering sahaja yang menjadi pemulanya.

Bagi wanita ini, sudah menjadi lumrah, budaya dan peredaran zaman, kini semua orang punya ruang untuk bercakap di dunia maya meski dalam tidak sedar, tulisan atau komen yang dilemparkan mampu menyakiti hati sesiapa sahaja.

“Mana mungkin nak salahkan orang. Lumrah, sekarang, orang cuma suka akan drama. Ramai yang tak kisah seseorang itu buat baikkah, buat kerja baguskah. Mereka suka drama dan kita tak boleh nak tutup mulut orang.

“Mungkin cuma boleh lihat yang sikap seperti itu, kemudiannya mencerminkan keperibadian mereka yang sebenar. Sekarang, apa sahaja yang mereka cakap, saya akan cuba elak untuk baca dan komen semula.

“Lagipun, yang komen itu semua bukannya saya kenal pun. Kalau perasan, jika ada isu negatif bertebaran di media sosial saja mesti netizen suka komen bukan? Begitulah lumrahnya,”katanya.

Terima ugutan bunuh

Tidak menolak bahawa ada antara mesej peribadi yang diterimanya di ruangan media sosial berbentuk ugutan, Rose juga mengaku pernah menerima ugutan berbaur bunuh.

Namun, pelakon ini enggan terlalu memfokus kepada perkara itu kerana baginya, cukup sekadar dia memaklumkan bahawa ia terjadi, tetapi tidak mahu ia kerap diperkatakan.

“Bagi saya, selagi ia boleh dielakkan, saya akan elak. Memang ada saya terima ugutan seperti itu, dan jangan fikir saya tak bimbang. Ia bukan perkara main-main. Cuma saya sahaja yang tak nak baca sangat dan terlalu berfikir.

“Bukan apa, kalau selalu baca, kata-kata itu akan masuk dalam kepala dan memakan diri. Saya elak. Saya nak fokus pada kerja-kerja harian dan tak nak tersekat cuma di situ.

“Macam saya katakan, kita tak boleh nak kawal orang atau apa orang nak cakap. Tetapi, kunci yang kita ada adalah bagaimana nak kawal diri sendiri. Sampai sekarang, saya tak putus berdoa sebab percaya, doa orang teraniaya ini Tuhan akan angkat,”katanya.

Cuma mahu menyerap energi positif daripada orang sekeliling, kata Rose, buat masa ini, itu adalah apa yang dirinya perlukan lantaran sedar, dalam masa sama perlu menjaga kesihatan mentalnya juga.

“Saya pernah kemurungan sebelum ini dan tak mahu berada dalam situasi itu lagi. Sebab, kalau dilayan, ia tidak baik untuk reputasi dan kesihatan mental. Kalau dulu, mungkin isu itu membabitkan saya seorang.

“Kali ini, banyak pihak terkena tempias, bukan saya sahaja. Tapi juga ibu bapa, keluarga, pasukan, rakan kongsi, kawan-kawan dan banyak lagi. Paling saya kasihankan ialah emak. Dia adalah orang yang paling sedih bila sekali lagi anaknya dilanda kontroversi.

“Komennya yang murni mendoakan saya di ruangan Instagram turut jadi bahan kecaman orang. Entahlah. Orang cuma tahu komen dan hentam saja. Mereka tak pernah fikir akan ada orang lain yang turut terkesan. Inilah realiti zaman sekarang yang kita semua sedang lalui,” katanya.

Kerana Sekuntum

Sedar bahawa dirinya perlu bangkit dan terus kuat demi orang sekeliling yang sentiasa mendukungnya untuk terus mengukir kejayaan, pelakon ini enggan lagi menoleh ke belakang.

Tidak mahu dibelenggu dengan sifat putus asa, Rose mahu meneruskan usahanya membawa Sekuntum, sebagai sebuah jenama setanding dengan rangkaian hijab lain.

Sudah lama memasang impian untuk memiliki jenama hijab sendiri, siapa sangka, akhirnya perkara itu dapat direalisasikannya sekali gus membuktikan bahawa dia bukan seorang wanita yang tahunya cuma berada di satu takuk semata.

“Bukanlah juga nak buktikan kepada orang. Semua yang dilakukan ini adalah demi diri sendiri. Saya tak nak menjadikan usia yang muda sebagai satu limitasi dan takut-takut untuk terokai bidang lain.

“Masa saya ceburi bidang lakonan pun sebab nak teroka potensi dalam diri. Sebelum itu, sudah tujuh tahun juga saya bergelar model dan pem­pengaruh. Jadi tak akan cuma itu? Nak juga cuba bidang lain dan apabila dapat peluang dalam dunia perniagaan ini, ia bagi saya adalah sesuatu yang bagus.

“Ibu bapa saya pun dah lama nak lihat saya ada rangkaian hijab sendiri sebab sebelum ini sering jadi model orang. Mereka pemangkin semangat saya. Sebab itulah, saya sambung pengajian dalam bidang perniagaan dan pemasaran. Cuma rezeki nak tamatkan itu belum ada lagi.

“Mungkin saya boleh belajar daripada pengalaman sendiri bila mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan ini,”katanya.

Berkongsi mengenai jenamanya itu, kata Rose, dia memilih untuk menggunapakai Sekuntum sebagai tanda pengenalan kerana ia secara tidak langsung berkaitan dengan dirinya sendiri.

“Ada beberapa nama yang disena­raikan, ada nama bungalah, mawarlah, macam-macam. Membesar bersama nenek juga memberi pengaruh pada nama ini kerana nenek suka panggil saya dengan macam-macam panggilan nama.

“Saya nak nama yang memiliki identiti sebab pada saya Sekuntum itu juga memiliki karakter yang tersendiri,”katanya.

Berharap agar peminat dan pengikut tidak putus memberi sokongan kepadanya Rose juga merancang mengembangkan lagi jenama sulungnya itu menerusi pelbagai rangkaian barangan lain pada masa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya