KUALA LUMPUR: “Cara kau cakap pun orang tahu kau menipu! Dah lah mulut senget!” Itu adalah antara kecaman yang diterima kakak pelakon Emma Maembong, Shikin Maembong di Instagramnya.
Mesej berbentuk penghinaan dan kutukan itu dilemparkan beberapa individu tidak dikenali kepada Shikin. Ia susulan perbalahan antaranya dengan bekas bapa mentua yang juga cef terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan yang tercetus di media sosial baru-baru ini.
Selain dihambur dengan kata-kata kesat, wujud segelintir netizen yang menulis hantaran berbaur lucah dan mengaibkan ibu seorang anak itu.
“Menantu dari neraka,” tulis seorang pengguna Instagram.
Kesal dengan perkara tersebut, Shikin menerusi Instastorynya memberi reaksi berhubung kutukan-kutukan yang diterimanya itu.
“Kelakar tengok ramai dm dan komen dekat gambar saya, body shaming, hina rupa saya, siap maki bagai.
“Apalah, engkau orang bagi pahala free dekat saya. Alhamdulillah… walau saya buruk macam ini pun, janji saya happy.
“Syukur atas pemberian Allah. Saya tahu awak semua perfect, tak macam saya, buruk,” tulisnya.
Shikin baru-baru ini bertindak memfailkan saman malu terhadap Chef Wan selepas cef terkemuka itu menegurnya secara terbuka gara-gara pertelingkahannya dengan bekas suami, Nadzri atau Chef Riz berhubung soal anak mereka, Putri Arriana Natasya yang kini berusia tujuh tahun.
Bagaimanapun, Chef Wan, dalam kenyataannya di Instagram baru-baru ini menegaskan tidak akan melayan tuntutan saman bernilai RM1 juta yang dibuat terhadapnya itu. – UTUSAN