“Apa yang Aman tahu ialah Sultan Muhammad Al Fatih atau dikenali Muhammad si Penakluk ini dilahirkan pada 1432 di kota Edirne. Beliau menguasai Kota Konstantinople yang kini dikenali sebagai Istanbul sewaktu berusia 21 tahun! Bahkan, penaklukan kota agung itu merupakan titik noktah buat Empayar Byzantine,” terang Aman bersemangat.
“Al Fatih juga seorang yang bijak. Beliau mampu bertutur dalam bahasa Turki, Serbia, Arab, Parsi, Greek dan Latin. Ketokohannya membuatkan Empayar Uthmaniyah sangat digeruni Eropah ketika itu,”.
Itu merupakan antara petikan dialog menarik dari buku kanak-kanak berjudul Kembara di Kota Istanbul (Kota Muhammad Al-Fatih). Ia bukan sekadar buku cerita kanak-kanak biasa berada di pasaran, tetapi ia sarat dengan bermacam bentuk maklumat sejarah dunia Islam serta fakta-fakta sejarah yang tepat.
Buku ini juga bakal membawa kanak-kanak menghayati perjuangan pemimpin Islam dan menyelusuri sejarah agung Turki, sekali gus memberi ilmu tentang dunia luar seawal usia remaja mereka. Lebih menarik lagi, buku ini turut mendapat sambutan dari golongan dewasa yang menjadikan buku ini sebagai rujukan mendapat maklumat lebih terperinci tentang Turki.
Sekalipun buku ini hanya setebal 52 mukasurat sahaja, namun ia mengandungi banyak informasi termasuk sejarah danpelancongan.
Penulisnya, Thaqib Shaker, menggarap fakta sejarah dengan jalan cerita yang unik dan suspen seperti kehilangan watak utamanya, Aman di tengah kesesakan kota Istanbul.
Kehilangan Aman itu ternyata meresahkan kedua ibu bapanya sehingga kenikmatan melancong itu berubah menjadi mimpi ngeri buat mereka sekeluarga.
Apa berlaku dengan Aman? Adakah dia berjaya dipertemukan?
Majoriti besar pembaca memberi reaksi dan komen positif berkenaan buku ini.
Kata pembaca, anak-anak mereka mampu menceritakan tentang sejarah Turki dengan baik di samping menimbulkan kesedaran kepada mereka untuk sentiasa membantu sesiapa sahaja yang ditimpa kecelakaan. Ada juga sebahagian sekolah yang telah menjadikan buku ini sebagai bahan belajar dan rujukan kepada murid-murid di sekolah.
Berminat mendapatkan senaskhah buku ini? Boleh hubungi 019 924 2702 pada harga RM15. – UTUSAN