Jangan biar keputusan kawal selia vape dipengaruhi kajian yang disalah tafsir

Jangan biar keputusan kawal selia vape dipengaruhi kajian yang disalah tafsir

vape
CECAIR atau gel nikotin berpotensi mendatangkan hasil kepada kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN terdapat banyak kajian yang telah dilakukan mengenai vape dan fungsi peranti ini untuk mengatasi gejala ketagihan merokok, namun sebahagian besar keputusan kajian telah disalah tafsir hingga mempengaruhi keputusan mewujudkan dasar bagi mengawal selia penggunaannya.

Akibat daripada salah tafsir terhadap kajian-kajian saintifik ini dan pemilihan fakta yang kurang tepat berkaitan vape mengakibatkan ia tidak dapat dilihat sebagai satu kaedah yang bermanfaat untuk membantu perokok tegar yang berhadapan risiko penyakit kronik.

Parkara ini dibangkitkan oleh pakar kardiologi dari Greece, Dr. Konstantinos Farsalinos dalam pembentangan kertas kerjanya di Sidang Kemuncak E-Rokok 2021 di United Kingdom baru baru ini.

Dr. Konstantinos adalah pakar kardiologi dan penyelidik di Pusat Pembedahan Jantung Onassis di Athens, Greece dan juga Profesor Adjung di Universiti King Abdulaziz, Arab Saudi.

Beliau pakar dalam ekokardiografi dan terbabit dalam penyelidikan pengurangan kemudaratan merokok dan tembakau.

Sehingga 2019, beliau telah menerbitkan lebih daripada 70 kajian dan artikel dalam jurnal saintifik mengenai merokok, tembakau, pengurangan kemudaratan dan e-rokok.

Beliau berkata, penyalahtafsiran bukti-bukti bahawa vape mampu mengurangkan risiko akibat merokok amat serius.

Katanya, fakta yang disalah tafsir ini digunakan pula secara terpilih untuk menyokong kenyataan bahawa vape mempunyai risiko yang sama atau lebih tinggi dari merokok.

Menurut beliau, bagi membolehkan pihak kerajaan menggubal satu dasar bagi menangani isu berkaitan kesihatan awam sudah tentu mereka amat bergantung kepada keputusan berasaskan bukti sains.

Namun katanya, mereka tidak boleh bergantung kepada satu kajian sahaja atau hasil kajian yang telah disalah tafsir.

Katanya, apa yang mengecewakan ialah, bukti-bukti daripada hasil kajian bahawa vape memberikan kesan berbeza berbanding rokok dan mampu mengurangkan penyakit berkaitan rokok telah disalah tafsir.

“Terdapat banyak fakta-fakta dan kajian-kajian yang menunjukkan bukti dan hasil yang berbeza namun perkara ini diabaikan. Kita tidak boleh melihat pada satu bukti sahaja dan terus membuat kesimpulan.

“Terdapat dakwaan mengatakan bahawa Terapi Penggantian Nikotin (Nicotine Replacement Therapy) memberi kesan pada aorta, namun terdapat juga kajian menunjukkan bahawa perokok yang bertukar daripada rokok konvensional kepadavape mampu meningkatkan fungsi arteri hanya dalam masa empat minggu,” katanya.

Katanya, fakta sains ini ini perlu diambil kira untuk mengimbangi fakta-fakta lain ketika membuat perbandingan dan sebarang keputusan penting berkaitan penggubalan dasar mengenai vape.

Dr. Konstantinos sendiri telah melakukan tiga replika kajian berdasarkan kajian-kajian sebelumnya berkaitan kadar bahan kimia dalam cecair vape.

Dalam replika kajian itu, beliau mengunakan kaedah yang sama namun keputusan yang didapati jauh berbeza berbanding kajian asal.

“Sebagai contoh satu kajian yang dihasilkan di Amerika Syarikat diketuai Mohamad Sleiman menunjukkan kandungan Formaldehyde dan Aceltaldehyde yang agak tinggi dalam cecair vape. Laporan ini dikeluarkan pada tahun 2016.

“Kami telah mereplikan semula kajian ini dan mendapati hasil yang berbeza dengan jurang yang sangat jauh. Kami mendapati kandungan bahan kimia yang terdapat dalam cecair vape tidak sebanyak seperti yang didakwa oleh laporan-laporan ini,” katanya.

Maklumat-maklumat seperti ini yang hanya tertumpu pada sumber tertentu sahaja dan bukan sumber yang pelbagai menyebabkan masyarakat tidak dapat melihat faedah jika mereka mengurangkan penggunaan tembakau dan diganti dengan vape.

Lebih mengecewakan kata Dr. Konstantinos, sebahagian besar kajian itu telah diabaikan oleh institusi global hingga mencetuskan imej yang mengelirukan berkenaan risiko menggunakan vape.

Perkara sama berlaku dalam landskap perubatan Malaysia yang tidak terdedah kepada konsep pengurangan kemudaratan tembakau dan manfaat vape bagi membantu perokok tegar berhenti merokok seterusnya mengurangkan risiko penyakit berkaitan tabiat merokok.

Pengamal perubatan perlu lebih terdedah dan terbuka untuk menilai dan mengkaji seberapa banyak kertas kerja, kajian-kajian dan laporan ilmiah berkaitan vape dari seluruh dunia agar dapat membuat perbandingan sewajarnya.

Dr. Konstantino pada akhir pembentangannya juga amat berharap keseluruhan bukti dapat dinilai dengan teliti untuk memberikan maklumat yang seimbang dan boleh dipercayai kepada perokok dan pihak berkuasa yang mahu mengawal selia vape.

Akhirnya kata beliau, semua penemuan ini dapat digunakan pakai untuk meningkatkan kualiti kesihatan individu dan awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya