PETALING JAYA: Isteri kepada penyanyi legenda tanah air Datuk Jamal Abdillah, Datin Zai Izzati Khiruddin selamat melahirkan bayi lelaki, semalam.
Berita gembira itu dikongsikan penyanyi lagu Penghujung Rindu itu menerusi beberapa hantaran di entri Instagram miliknya.
Bayi yang diberi nama Iskandar Rayyan Yamani itu dilahirkan secara pembedahan di sebuah pusat perubatan di Shah Alam, Selangor.
Jamal sempat menitipkan kesyukuran kehadrat Ilahi kerana segala urusan dipermudahkan selain memohon orang ramai mendoakan bayinya agar menjadi anak soleh.
“Assalamualaikum.. Alhamdullilah telah lahir anak lelaki saya.
“Mohon doa semoga menjadi anak yang soleh. Amin. Alhamdulillah, selesai sudah.
“Gementar sehinggakan azan pun tersasul. Terima kasih semua,” kongsinya di Instagram.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet mengucapkan tahniah selain menitipkan doa yang baik-baik buat bayi mereka.
“Semoga menjadi anak yang soleh. Alhamdulillah dan tahniah Datuk Jamal dan Datin atas lahirnya seorang anak lelaki,” komen seorang warganet.
“Alhamdulillah, tahniah Datuk dan Datin. Beruntungnya dapat tarikh cantik…” komen juga seorang pengguna.
Sebelum ini, Jamal memaklumkan isterinya dijangka bersalin secara normal pada 28 Februari ini, namun memilih untuk bersalin secara pembedahan pada tarikh 22.2.2022.
Untuk rekod, Jamal dan Zai Izzati mendirikan rumah tangga pada tanggal 1 April 2017.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Azura Yamani dan El Isaac Yamani.
Penyanyi itu juga memiliki dua cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu iaitu Osama Yamani dan Ahmad Zaki Yamani.