PETALING JAYA: Filem C144 yang mula memasuki pawagam bermula esok , mencipta sejarah tersendiri apabila bakal ditayangkan di Noho7 Laemmle Theatre @ Lankershim Boulevard, Hollywood April ini.
Penerbitnya, Aaron Lim berkata, filem terbitan Redboy Pictures Sdn. Bhd. itu melepasi semua syarat ditetapkan dan meletakkan harapan untuk mewakili negara ke Anugerah Oscar akan datang.
“Pasukan produksi filem C144 telah melakukan kajian untuk mendapatkan maklum balas orang ramai terhadap C144 sebelum ditayangkan. Kita mahu pandangan jujur daripada khalayak sebelum proses suntingan dan pos produksi dilakukan.
“Kami melakukan kajian terhadap 500 responden. Hasilnya sangat memuaskan. Oleh sebab itu kami yakin untuk menayangkan filem ini di Hollywood dan berharap supaya dalam menembusi pencalonan Anugerah Oscar,” katanya.
C144 yang menjalani penggambaran sekitar 2017 itu mengisahkan dua orang pengembara terjumpa dengan serpihan kapal terbang C-47B yang terhempas pada 1945 ketika Perang Dunia Kedua.
Mereka kemudian disertai lagi 10 pengembara namun berdepan dengan pelbagai cabaran dan situasi misteri yang menyebabkan mereka saling bertelegah.
Filem arahan Jack Wong itu diterbitkan oleh Redboy Sdn. Bhd dan meletakkan wajah pelakon baharu seperti Jackson Lee, Nor Mikhail dan Jasmine Ledder sebagai watak utama.
C144 bakal ditayangkan pada 17 Februari 2022 di 37 pawagam seluruh Malaysia dan turut menjelajah ke 12 negara termasuk Indonesia, Singapura dan Jepun.