KUALA LUMPUR: Penyanyi berbakat besar, Ernie Zakri mengabdikan penghargaan buat suami tersayang yang juga penyanyi, Syamel menerusi sebuah lagu baharu berjudul Korban.
Menurut Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, lagu istimewa itu dihasilkan bagi mengingati segala pengorbanan Syamel yang menjaganya dengan baik ketika penyanyi berkenaan sarat mengandung.
“Konsep lagu Korban memang kena sebenarnya dengan keadaan saya yang hamil sebelum ini.
““Saya ciptakan lagu ini bagi menghargai segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh Syamel. Banyak yang telah ditempuhinya sepanjang saya mengandung.
“Bayangkanlah perasaan beliau ketika itu, dengan keadaan arwah umi yang tenat di hospital manakala saya pula hamil, tak dapat saya ungkapkan,” katanya.
Ernie berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dikongsikan kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Kata Ernie, lagu berkenaan dirakam ketika kandungannya memasuki tujuh bulan.
“Ini merupakan projek terakhir saya sebelum melahirkan anak sulung dan cuti bersalin selama 60 hari selain melalui proses berpantang.
“Dalam pada itu diusia kandungan menjangkau tujuh bulan, saya masih lagi berkesempatan merekodkan sebuah lagu khas buat orang-orang tersayang dalam hidup saya, terutamanya buat suami tercinta,” katanya lagi.
Korban merupakan lagu yang dicipta sepenuhnya oleh penyanyi tersebut dan diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment.
Untuk rekod, Ernie dan Syamel selamat menyambut kelahiran anak pertama mereka kira-kira pukul 10.14 pagi pada 22 Februari lepas.