KUALA LUMPUR: Setelah dibatalkan tahun lalu, pelakon Elizabeth Tan akhirnya menarik nafas lega apabila majlis perkahwinannya bersama suami, Siew Jim berjaya dilaksanakan beberapa hari lalu.
Elizabeth yang mesra disapa Lizzy berkata majlis serba ringkas yang berlangsung di ibu kota itu sepatutnya dilaksanakan Disember tahun lalu.
“Ia diadakan sederhana dengan prosedur operasibstandard (SOP) yang ketat. Hanya keluarga dan rakan terdekat yang hadir.
“Kami jemput 12 orang kenalan sahaja untuk meraikan hari bahagia kami,” kata Lizzy.
Kata pelakon Gerak Khas Undercover ini berkata dia dan suami memilih bulan Februari atas faktor-faktor tertentu.
“Februari adalah bulan yang istimewa untuk kami kerana pada bulan ini kami mula kenal mengenali antara satu dengan lain.
“Februari juga adalah bulan dimana saya bergelar teman wanita dan isterinya. Jadi ya, bulan Februari terlalu istimewa,” katanya lagi.
Disoal tentang zuriat, Lizzy memberitahu dia berharap dia dapat menimang cahaya mata sekitar penghujung tahun ini.
“Saya harap sekitar hujung tahun ini. Tahun depan saya dah berusia 30 tahun.
“Suami kalau boleh nak tunggu tiga tahun lagi. Tapi dia faham keadaan. Apa yang boleh saya katakan, buat masa ini kami hanya merancang,” ujarnya.
Untuk rekod, Lizzy dan Siew Jim disatukan sebagai suami isteri pada 20 Mac tahun lalu.