Banyak perkara yang saya korbankan... - Ezad Lazim - Utusan Malaysia

Banyak perkara yang saya korbankan… – Ezad Lazim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jika saya diminta untuk senaraikan lima penyanyi lelaki bersuara emas, pastinya nama yang satu ini antara yang akan saya sebutkan.

Saya dan anda tidak boleh menafikan. Vokal yang indah dimiliki seorang Mohd. Rohaizad Mohd. Lazim atau Ezad Lazim. Itu adalah satu kelebihan. Allah kurniakan kepadanya, keistimewaan.

Kehadiran Ezad dalam industri tidak sia-sia. Tuhan sudah tentukan jalannya di sini, menjadi anak seni. Maka dengan kebolehan, dia melangkah masuk ke dalam dunia hiburan.

Umum tahu Ezad bermula dengan Exists pada tahun 1995. Ketika itu, dia hanyalah seorang remaja belasan tahun yang bakatnya dicungkil menerusi pertandingan Bintang RTM peringkat negeri Kedah.

Kehadirannya menggantikan vokalis kumpulan itu, Mohd. Ali Kamarudin atau Mamat yang mengundurkan diri pada tahun sebelumnya.

Ezad menggapai kegemilangan bersama Exists. Album-album yang dihasilkan laris terjual. Antaranya Diammu Gunung Berapi, Jangan Gentar, Mutan, Ada, Seperti Dulu, Paragon dan banyak lagi.

Kejayaan demi kejayaan dikecapi. Sehinggalah satu ketika, sekitar 2006, Ezad disingkirkan gara-gara konflik dalaman yang melanda kumpulan berkenaan.

Dia ada bercerita tentang itu ketika saya menghubunginya baru-baru ini. Ezad menyifatkan penyingkirannya sebagai satu memori pahit dalam hidupnya.

“Dalam kumpulan, perselisihan faham itu adalah perkara yang biasa berlaku.

“Penyingkiran saya pada ketika itu saya anggap sebagai antara kenangan pahit sepanjang bergelar anak seni.

“Selepas keluar Exists, saya terkontang-kanting. kerjaya terumbang ambing. Saya tercari-cari arah,” katanya.

Apa pun yang berlaku, semua kini hanya tinggal sejarah. Ezad, dari fasa bersama Exists sehinggalah bergerak solo, kekal relevan dan ada penggemarnya sendiri. Itulah kekuatan anak jati Alor Setar, Kedah ini.

Tahun ini menjadi tahun penting buat Ezad. Satu lembaran bermula. Meskipun dunia masih berperang dengan wabak, penyanyi ini tidak patah semangat. Perancangan disusun kemas. Agar dapat terus bertahan.

“Kalau diikutkan, memang banyak tawaran yang saya terima. Antaranya permintaan untuk menerbitkan semula lagu Mengintai Dari Tirai Kamar yang secara tiba-tiba menjadi tular di Indonesia.
“Ada juga tawaran untuk saya keluarkan single dan berduet dengan penyanyi baharu. Namun buat masa ini, belum ada sebarang ketetapan lagi,” katanya.

Pengorbanan titik permulaan

Hampir tiga dekad berada di dalam industri, bapa kepada dua cahaya mata ini mengakui bukan mudah menjadi seorang anak seni.

Katanya, kejayaan hari ini adalah hasil pengorbanan titik permulaan. Saya minta dia kongsikan, pahit manis kehidupan seorang selebriti.

“Banyak perkara yang saya korbankan. Antaranya, pelajaran. Kalau ikutkan, sepatutnya saya sambung ke peringkat lebih tinggi, mungkin belajar di universiti.

“Tetapi, ketika itu saya melihat komitmen lebih kepada Exists. Jadi, selepas tamat tingkatan lima, saya tak sambung. Hati sudah tak ada.

“Pengorbanan itu mendatangkan hasil. Hampir berpuluh tahun, saya dan anggota Exists yang lain masih ada di dalam industri. Usia muda yang kami peruntukan untuk kerjaya seni berbaloi,” ceritanya.

Cerita Ezad lagi, pengalaman memulakan kerjaya solo selepas disingkirkan dari Exist juga menjadi pengalaman yang tidak dapat dia lupakan.

“Bayangkan saya bersama Exists dalam tempoh yang cukup lama. Sejak 1995. Selepas dibuang, percaturan menjadi kelam kabut. Saya mencari hala tuju.

“Apabila sudah terlalu lama berada dalam kumpulan, untuk memulakan kerjaya solo memang sukar. Dengan ketiadaan pengurusan yang baik, saya rasa tersisih.

“Tetapi saya bangkit. Berkat kesabaran, saya belajar uruskan kerjaya sendiri. Naikkan nama saya semula dalam industri. Saya akui bukan mudah. Ambil masa.

“Selepas beberapa tahun, bahkan selepas saya berkahwin, baru saya dapat menempatkan semula diri dalam industri. Saya bersyukur, dihadirkan seorang isteri yang banyak membantu menguruskan semula kerjaya saya,” katanya.

Bangkit dan p;ulih kembali

Pada 2015, Ezad didenda sebanyak RM3,500 oleh Mahkamah Majistret atas pertuduhan memiliki dan mengambil dadah jenis Syabu sekitar November 2014.

Saya minta Ezad beri pandangannya soal itu. Dia tidak menolak, malah terbuka berkongsi sudut perspektifnya tentang apa yang berlaku.

Kata Ezad, semua itu menjadi satu pengajaran. Katanya, biarlah apa yang berlaku menjadi teladan buat masyarakat.

“Peranan artis terlalu besar. Saya akui, pernah melakukan kesalahan. Saya cuba bangkit dan kembali pulih. Apa yang saya buat, bukan untuk diri saya semata-mata.

“Kita tak sedar, mungkin ada yang menjadikan kita inspirasi. Dengan melihat perubahan kita kepada yang lebih baik.

“Sekurang-kurangnya, kisah hidup saya itu mendidik masyarakat. Jadi teladan. Kalau diberi peluang untuk berkongsi kisah itu, saya sedia ke depan. Secara tidak sedar, mungkin ada pahala yang Tuhan berikan menerusi perkongsian yang saya buat dengan masyarakat,” katanya.

Saya soal, dari mana datangnya semangat itu, untuk lari dari situasi kegelapan dan bangkit menjadi lebih baik. Jawab Ezad, orang sekeliling dan peminat.

“Semangat saya dapat mereka. Ahli keluarga. Dan saya beruntung, adanya peminat yang menyokong untuk saya perbaiki diri. Pulihkan hidup yang terkesan akibat dadah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya