Saiful Jaicob bangkitkan semula lagu etnik Sabah - Utusan Malaysia

Saiful Jaicob bangkitkan semula lagu etnik Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saiful Jaicob mendedahkan dirinya pernah diambil kesempatan dan ditipu oleh pihak penganjur semasa mula menapak dalam industri seni ini tanah air ini pada 2018.

Menurut penyanyi dan komposer berusia 30 tahun itu, waktu itu dia telah menerima jemputan untuk membuat persembahan di lokasi yang sangat jauh.

“Saya perlu melakukan perjalanan daripada Tambunan ke Kota Kinabalu. Waktu itu saya hadir ke acara tersebut dengan berbekalkan wang yang cukup hanya untuk bayar tambang sahaja dengan harapan akan dibayar upah selepas selesai persembahan.

“Bila dah smpai terpaksa tahan lapar pula kerana pihak penganjur tidak menyediakan makanan. Selesai sahaja membuat persembahan, rupanya saya tidak dibayar kerana penganjur bagi banyak alasan yang sukar difahami.

“Mujur ada rakan seperjuangan yang boleh membantu meminjamkan wang supaya saya boleh pulang semula,” ceritanya kepada Pancaindera.

Meskipun pernah mengalami pengalaman pahit itu, ia tidak mematahkan semangat Saiful untuk teruskan perjuangan dalam industri ini.

Setakat ini, Saiful Jaicob telah mengeluarkan beberapa lagu termasuk Cinta Abadi, Jujur Aku Cinta, Damkeh, Oh Raya, Jika Ku Lepaskan Dirimu dan yang terbaharu, Nokuro Baino.

Mengulas mengenai single terbaharunya itu, Saiful Jaicob memberitahu, dia ingin mengetengahkan budaya Sabah dengan melancarkan lagu Nokuro Baino dalam bahasa Dusun yang bermaksud mengapa sekarang.

“Sepanjang proses rakaman lagu ini, pelbagai dugaan yang ditempuhi seperti penggubahan lirik lagu itu kerana terdapat sebahagian penggunaan perkataan yang kurang sesuai.

“Tambahan pula saya seorang yang kurang pengetahuan tentang perkataan-perkataan Dusun yang lebih mendalam dan puitis.

“Bagaimanapun, lagu ini akhirnya berjaya disiapkan setelah meminta bantuan daripada seorang komposer yang lebih arif di Sabah iaitu Sekar Madusa,” katanya.

Lagu yang dicipta sepenuhnya oleh Saiful itu diilhamkan dari kisah sebenar yang dilaluinya sendiri.

Anak kelahiran Sabah itu menjelaskan, lagu itu dicipta ketika pertandingan tahunan Sugandoi Kaamatan yang semakin rancak di Sabah.

Sugandoi Kaamatan ialah pertandingan nyanyian yang dianjurkan sempena Pesta Kaamatan di situ.

Syarat lagu yang dinyanyikan adalah lagu dalam bahasa Dusun,Kadazan, Murut. Maka terciptalah lagu ini supaya lagu etnik Sabah dapat lebih diketengahkan.

“Saya harap lagu ini dapat diterima oleh semua pendengar dan masyarakat. Semoga perjalanan seni saya juga bertambah baik.

“Saya tidak mengharapkan lebih, cuma mahu ada penambahbaikan dari sebelumnya. Biar tidak popular, yang penting ikhlas. Tetapi kalau popular, itu bonus,” katanya.

Single Nokuro Baino ini telah berada di semua saluran digital dan YouTube Luncai Emas untuk didengarkan. Luncai Emas bertindak sebagai pengedar single ini secara jualan platform digital, YouTube dan iTunes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya