KUALA LUMPUR: “Kamu tak berbakat dalam bidang nyanyian”
Itu merupakan pandangan komposer dan penyanyi, Ajai terhadap bukan sahaja persembahan malah penyertaan usahawan sensasi, Iqbal Zulkefli dalam program realiti Big Stage 2022, semalam.
Kata Ajai, usahawan itu tidak berbakat dalam nyanyian dan dia perlu terima kenyataan tersebut.
“Terus terang cakap, bakat ini adalah pemberian.
“Walaupun kamu berduit macam mana pun, bakat tidak boleh dibeli dengan duit. Bakat itu diberi oleh Allah SWT.
“Jadi, anda perlu terima kenyataan bahawa anda tidak dilahirkan untuk menjadi penyanyi. Tapi kamu mempunyai rezeki yang lain,” katanya.
Iqbal mengundang kecaman ramai selepas tampil menjadi antara peserta dalam program realiti kelolaan Astro itu.
Namun pada konsert kedua semalam, dia yang mempersembahkan lagu Ketahuan dipopularkan Matta Band menjadi peserta pertama yang disingkirkan.
Dalam komennya juga, Ajai turut meluahkan rasa berang apabila bidang nyanyian menjadi bahan yang dipermain-mainkan.
Dia juga turut mengingatkan bekas pembantu peribadi usahawan sensasi, Datuk Seri Vida itu agar menjaga maruahnya.
“Ini akan ambil masa. Dalam nyanyian bukan tiga hari belajar terus pandai, tidak.
“Ada orang bertahun belajar untuk dapatkan ilmu. Tetapi kepentingan disini, untuk menjadi penyanyi perlu bakat dahulu. Bakat itu adalah pemberian. Percayalah benda ini.
“Saya tidak suka benda ini dijadikan bahan lawak. Awak perlu jaga maruah awak,” tegasnya.