KUALA LUMPUR : Bakal menimang cahaya mata sulung, pelakon dan penyanyi, Harris Alif, 23, dan isterinya, Intan Ladyana, 38, bagaimanapun sepakat membuat keputusan untuk tidak mendedahkan jantina kandungan yang kini memasuki usia 7 bulan.
Menurut Harris, pihaknya bukanlah mahu berahsia namun mengaku mahu memberi kejutan buat semua terutama keluarga masing-masing yang juga sedang teruja untuk mengetahui perkara tersebut.
“Nak kongsikan apa yang tentang hal kehamilan. Saya pun tak tahu nak cakap apa. Buat masa ini, ya, Intan sedang sarat mengandung. Tetapi tentang hal jantina, kami sepakat tak nak beritahu lagi.
“Dengan keluarga pun kami belum kongsikan hal ini. Memang nak buat kejutan untuk semua,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Selain itu, menurut Harris, dia dan Intan mengharapkan doa-doa yang baik daripada semua pihak berhubung kehamilan ini.
“InsyaAllah, Intan dijangka akan bersalin pada hujung Februari ini. Kami adalah juga beli barang untuk persiapan menyambut kedatangan anak pertama ini sikit-sikit.
“Kami pergi beli sama-sama. Tapi tidaklah terlalu lengkap barang-barangnya. Cuma, kami berdua ini mengharapkan doa-doa yang baik daripada semua pihak, agar urusan kehamilan dan bersalin nanti dipermudahkan, itu lebih penting,”katanya.
Dalam pada itu, Harris juga berterima kasih kepada peminat dan mana-mana pihak yang memberi perhatian dan mendoakan kesihatan mereka setelah sebelum ini dilaporkan terkena jangkitan wabak Covid-19.
Mendedahkan kini sudah pun dibenarkan pulang ke rumah, Harris memaklumkan bahawa dirinya, isteri serta bayi dalam kandungan Intan berada dalam keadaan sihat.
“Alhamdulillah, Intan pun sudah berada di rumah sejak tiga hari lalu. Kami semua berada dalam keadaan sihat. Intan pun tidak adalah lemah sangat, cuma adalah batuk-batuk.
“Selera makannya ada. Pendek kata, perlahan-lahan dia dan saya semakin membaik dan perlukan masa untuk berehat.
“Dia pun sudah sarat, jadi lepas ini saya pun tak galakkan dia sibuk dengan kerjaya. Biar dia berehat sahaja di rumah,”katanya.
Terdahulu, Intan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal kerana jangkitan wabak tersebut selepas dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh, tetapi Harris menafikan perkara tersebut.