Setiap niat baik, jahat akan dinilai - Utusan Malaysia

Setiap niat baik, jahat akan dinilai

Niat baik dan ditunaikan akan diganjari berlipat kali ganda oleh Allah SWT. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kita sudah pun melalui penghujung tahun 2021 dan bertepatan pada hari ini, kita sedang melangkah masuk ke tahun baharu. Segala puji bagi Allah kerana telah memanjangkan umur bagi kita dalam menempuh hari-hari yang lalu. Ibarat sekilas kerdipan mata, masa berlalu begitu pantas tanpa dirasai.

Mungkin sebahagian daripada kita sudah pun mencapai apa yang diidamkan dan ada juga yang mungkin masih merancang untuk perjalanan hidup yang masih panjang selagi hayat dikandung badan.

Dalam pada kita memasuki tahun baharu, sebahagian daripada masyarakat kita meraikan tahun baharu. Antaranya dengan hal-hal kebaikan seperti majlis doa selamat dan kesyukuran, majlis silaturahim sesama keluarga, ceramah atau kuliah perdana ambang tahun baharu dan seumpamanya.

Tidak dinafikan juga ada yang tidak endah dengan tahun baharu atau berbuat hal sebaliknya. Perhatikanlah dengan apa kita meraikannya.

Beruntunglah bagi mereka yang berbuat amal kebaikan dan rugilah bagi mereka yang memilih jalan kerosakan sebagai permulaan umurnya yang baharu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka kami ilhamkan kepadanya jalan kejahatan dan jalan ketakwaan. Sesungguhnya telah beruntung orang yang menjadikan dirinya bersih (dengan jalan ketakwaan). Dan sungguh hampa (orang yang sedia bersih) susut dan terbenam (dengan kemaksiatan). (as-Shams: 9-11)

Menjadi kelaziman masyarakat kita menjelang ambang tahun baharu, masing-masing menetapkan azam dan merancang rencana kehidupan agar dapat dicapai pada tahun baharu. Mereka akan meletakkan ia sebagai ‘sasaran kehidupan’ sebelum tahun yang bakal dilalui berakhir.

Azam itu juga lahir dari niat yang tersemat di dalam hati. Ada dalam kalangan kita yang berniat dengan hal-hal keduniaan. Namun yang terbaik adalah kita menanamkan niat kebaikan yang akan menambahkan ganjaran kita kelak di akhirat.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: Setiap perbuatan itu berdasarkan dengan niat, dan setiapnya akan dipersoalkan atas apa yang diniatkan. Barang siapa yang hijrah (niat) kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk didapatinya dan wanita yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dihijrahkan kepadanya. (riwayat al-Bukhari)

Sesungguhnya Allah akan menilai niat yang baik daripada hati kita. Jika kita tulus dalam menanam niat di dalam hati dengan niat-niat yang baik, nescaya Allah akan beri ganjaran kepada kepada kita meskipun apa yang diniatkan itu belum pasti dilakukan.

Baru sahaja berniat dan belum lagi beramal, namun sudah diberi pahala oleh Allah atas apa yang diniatkan. Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya Allah telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, lalu Dia menjelaskannya. Barang siapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat berbuat kebaikan, lalu dikerjakannya, Allah akan mencatatnya sebagai 10 hingga 700 kali kebaikan atau lebih banyak lagi.

Jika ia berniat melakukan kejahatan namun belum dilakukan, Allah mencatat baginya satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat melakukan kejahatan dan ia melakukannya, Allah mencatatkan baginya sebagai satu kejahatan. (Riwayat al-Bukhari)

Meskipun niat yang jahat, tetapi tidak dilakukan, sudah diberi Allah satu pahala kebaikan. Ingatlah, setiap apa yang kita letakkan di dalam hati kita daripada niat-niat yang baik ataupun buruk, nescaya Allah akan menghitungnya juga di akhirat kelak.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: ……sesungguhnya setiap pendengaran, penglihatan dan hati nurani (apa yang menjadi lintasan dan pegangan), kesemuanya itu kelak akan dipertanggungjawabkan (di akhirat). (al-Israk: 36)

Berniatlah untuk memperbaiki diri kerana pada niat yang demikian menjadikan kita orang yang sering muhasabah diri dan sentiasa memperingati diri untuk bertaubat kepada Allah. Orang mukmin yang berakal itu sentiasa memikirkan kekurangan dirinya dan berusaha untuk menambah baik setiap amal perbuatannya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Orang yang cerdik (yang berakal) adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, sedangkan orang yang lemah (imannya) adalah orang yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah SWT (bahawa Allah akan mengampuninya). (Riwayat Tirmidzi)

Oleh yang demikian, tanamlah dalam diri kita niat-niat yang baik khususnya dalam kita bertaubat dan memperbaiki diri. Bersegeralah dalam berbuat amal kebaikan agar apa yang diniatkan itu tidak luput dari ingatan kita.

Allah menegaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: ……maka apabila engkau (Wahai Muhammad) sudah berazam (bulat tekad untuk melakukan sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertawakal kepada-Nya. (ali-Imran: 159)

Hal yang demikian disebutkan di dalam sebuah hadis daripada Saidina Abdullah Ibnu Umar r. a yang bermaksud: Rasulullah SAW pernah memegang kedua bahuku seraya bersabda: Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau musafir. Jika engkau berada di petang hari jangan menunggu datangnya pagi dan jika engkau berada pada waktu pagi hari jangan menunggu datangnya petang. Pergunakanlah masa sihatmu sebelum sakit dan masa hidupmu sebelum mati. (Riwayat al-Bukhari)

Bersegeralah dalam menunaikan niat-niat yang baik. Boleh jadi jika niat bersedekah untuk meringankan beban orang lain, Allah sudah siapkan bagi kita balasan-Nya di dunia apatah lagi di akhirat.

Jika hadir di dalam sanubari kita bisikan jahat daripada hawa nafsu dan syaitan untuk berbuat hal yang mungkar, segeralah memohon perlindungan daripada Allah daripada hasutan tersebut.

Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Dan jika engkau (wahai Rasulullah) dihasut oleh hasutan syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (al-A’raf: 200)

 

 

  • Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya